Oleh RAHIMI MOHAMAD
KELEBIHAN hanya satu sahaja kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimiliki Johor ketika ini dilihat tidak menggembirakan kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.
Sambil terus berteka-teki dengan spekulasi mengenai pembubaran DUN Johor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga seolah-olah tidak menafikan khabar angin akan diadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat.
Malah, Hasni berkata, ketika ramai orang mahu menjadi nombor satu dalam apa sahaja perkara, mereka sebaliknya tidak suka dengan angka tersebut yang dipercayai merujuk kepada majoriti satu kerusi DUN.
“Saya masih lagi berpendapat bahawa saya perlu melihat kepada keadaan apabila kerajaan negeri hanya mempunyai satu majoriti. Walaupun semua orang suka menjadi nombor satu tetapi Johor mungkin tidak suka dengan istilah satu itu.
“Kalau ada pihak mengatakan bila nak ada pilihan raya atau ada tarikh untuk adakan pilihan raya kecil atau negeri ini, saya rasa seingat saya sebagai Menteri Besar, saya tidak pernah mengumumkan sebarang keputusan.
“Tetapi hanya melihat dan meninjau kemungkinan-kemungkinan apabila kerajaan Johor hanya mempunyai satu majoriti sahaja. Itulah keadaannya yang masih ada pada hari ini,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Keusahawanan Johor 2021 hari ini.
Hasni mengulas desas-desus pembubaran DUN Johor yang semakin hangat diperkatakan dan kononnya akan berlaku seawal minggu ini seperti yang menjadi bualan ramai pihak sejak kebelakangan ini.
Khabar angin yang bertiup kencang itu turut mendapat perhatian Pakatan Harapan (PH) Johor yang mengakui ada perbincangan mengenai kebarangkalian itu dalam mesyuarat mereka, baru-baru ini.
Pembahagian kerusi DUN Johor sangat tipis ketika ini dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memiliki 28 kerusi, manakala PH pula 27 kerusi selepas kematian ADUN Kempas, Datuk Osman Sapian.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hasil reaksi daripada rakan gabungan iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas, Hasni memberitahu, sokongan yang diberikan masih belum goyah.
Katanya, tidak ada isu yang berbangkit dalam gabungan yang membentuk kerajaan hari ini yang boleh membawa kepada pembubaran DUN Johor.
“Kita perlu melihat jika terdapat gambaran bahawa sokongan berubah ataupun sekiranya ada agenda-agenda yang perlu dibawa yang memerlukan sokongan Dewan Negeri sama ada perkara itu boleh (lulus) atau tidak diperolehi.
“Ini adalah perkara-perkara yang saya maksudkan bagaimana reaksi keadaan di bawah apabila kerajaan hanya mempunyai satu majoriti sahaja.
“Sokongan daripada rakan-rakan gabungan dalam kerajaan itu semua saya percaya tidak berbangkit pada waktu ini,” katanya.
Leave a Reply