PENERIMA bantuan kebajikan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada tahun ini dijangka mencecah 550,000 orang daripada 517,414 penerima bantuan tahun lepas dengan mengguna pakai Paras Garis Kemiskinan (PGK) Makanan 2019 sebagai kelayakan permohonan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, jangkaan pertambahan penerima itu adalah selari dengan keputusan kerajaan untuk menaikkan kelayakan permohonan bantuan kebajikan dengan menggunakan PGK Makanan 2019 iaitu RM1,169 berbanding RM980 sebelum ini.
Rina berkata, kira-kira 71 peratus atau RM1.772 bilion daripada RM2.5 bilion perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) tahun ini akan disalurkan kepada bantuan kebajikan di bawah JKM bagi membantu mereka yang memerlukan untuk kelangsungan hidup.
“Kementerian menjangka menerima banyak permohonan daripada mereka yang terkesan. Untuk itu, saya telah minta supaya pemprosesan perlu dipercepat dengan menggunakan teknologi yang memudahkan mereka (penerima),” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KPWKM di Putrajaya hari ini.
Sementara itu, Rina berkata hasil tinjauannya terhadap mangsa-mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) mencadangkan agar penyampaian bantuan makanan yang sudah siap dibungkus menggunakan teknologi “retort”.
Tinjauannya mendapati PPS cukup dengan makanan dan barangan keperluan asas, namun terdapat pembaziran dari segi makanan kerana makanan siap masak yang dibungkus mudah rosak atau basi.
“Sudah tiba masanya untuk kita memperluaskan lagi penggunaan makanan dengan bungkusan teknologi retort atau penstrilan, ia menjadikan makanan tahan lebih lama, segar dan mudah disediakan,” katanya.
Dalam pada itu, Rina berkata, untuk tahun 2022, kementerian akan terus memfokuskan kepada usaha memperkukuhkan mutu perkhidmatan, memastikan keberkesanan program yang dirancang dan memperkasa golongan wanita secara lebih komprehensif.
Beliau berkata, enam agensi kementerian iaitu JKM, Yayasan Kebajikan Negara (YKN), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Institut Sosial Malaysia (ISM) dan Lembaga Kaunselor Malaysia (LKM) akan digembleng bersama untuk memastikan fokus untuk tahun ini dapat dicapai.
“Untuk tahun ini, kita tak nak bergerak dalam silo. Sebagai contoh, apabila berlaku banjir dulu kita hanya nampak JKM, tapi sekarang saya nak gerakkan semua (agensi) membantu mangsa banjir,” katanya. – BERNAMA
Leave a Reply