SERAMAI 23 pelajar dari Kampung Bemban, Jelebu, buat pertama kali ke sekolah dengan menaiki bot Angkatan Tentera Malaysia (ATM) susulan jambatan ke kampung itu runtuh dalam kejadian banjir 18 Disember lalu.
Bot ATM menghantar mereka ke Sekolah Kebangsaan (SK) Durian Tipus, SK Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Teriang.
Batalion Ke-15 Rejimen Askar Melayu Diraja(15 RAMD) sudah bersiap sedia seawal pukul 6 pagi menjalankan khidmat bakti membawa anak-anak dari kampung terbabit menyeberangi Sungai Teriang.
Selain itu, tiga buah van turut disediakan Pejabat Pendidikan Daerah Jelebu untuk menghantar mereka ke sekolah masing-masing dengan usia paling muda enam tahun.
Pegawai Memerintah 15RAMD, Leftenan Kolonel Isma Zaini Ismail berkata, pihaknya telah menyediakan perkhidmatan pengangkutan bot di kampung itu sejak 21 Disember lalu selepas kejadian banjir yang berlaku.
“Kami akan berada di sini membantu pergerakan penduduk Kampung Bemban sehingga jambatan sementara yang dijangka siap pada 21 Januari ini.
“Pada hari pertama persekolahan hari ini ada 23 senarai nama yang kita bawa anak-anak Kampung Bemban ke sekolah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurutnya, setiap pelajar termasuk orang awam yang menaiki bot berkenaan akan dipakaikan jaket keselamatan dengan kapasiti penumpang dihadkan kepada lima orang bagi setiap perjalanan.
Sehubungan itu katanya, ibu bapa tidak perlu risau kerana soal keselamatan menjadi perkara utama yang dititikberatkan.
Sementara itu suri rumah, Nor Hinim Md Isa, 46, berkata, dia tidak dapat tidur malam kerana terlalu risau memikirkan anaknya berusia 12 tahun perlu menaiki bot ke sekolah.
“Saya sebenarnya suruh anak saya cuti kerana tak mahu tanggung risiko. Kita sebagai emak yang risau tetapi mereka (anak-anak) pula yang teruja.
“Saya pun ada pengalaman ketika masih kecil naik bot pergi sekolah kerana jambatan runtuh disebabkan banjir besar. Tak sangka pula pengalaman sama turut dilalui oleh anak pula,” ujarnya.
Nurul Amylia Mohd Rosbi, 33, pula berkata, menaiki bot ke sekolah menjadi pengalaman menggembirakan buat dua anaknya yang berusia 10 dan 12 tahun.
Meskipun ada perasaan bimbang, namun katanya dia yakin dengan kawalan khidmat ATM.
“Anak pun ada tanya saya tak bahaya ke? Tapi saya beritahu tak perlu risau kerana pihak ATM ada disediakan jaket keselamatan,” katanya.
Leave a Reply