KALU tuang gi Pata Timor
Jangan lupe maghi sokmo
Negri Tranung memang sohor
tempat molek, tanah subor
tempat molek, tanah subor
Na, na, na, na…
Tranung kite
Na, na, na, na…
Terengganu kita
Hoi… guane gamok tu
Yak kelih yak tan gi
Pulau Kapas, Pulau Redang
Kita lalu ikut Marang
Jangan lupa Kuala Berang
Sekayu comel, zaman berzaman
Sekayu comel, zaman berzaman
Na, na, na, na…
Tranung kite
Na, na, na, na…
Tranung kite
Ho-ho, hoy
bangun ke laut weh..
Takat ikang di Kuala Kmamang
petang-petang wat kerpok getel
ramai orang atah gere
main dam dua tiga papang
dok sedor sapa ke malang
Kedai Payang jual budu belacang
batek tebaga dan macang-macang
kalu nok tra nasi dagang
kita pakat gi kapong Ladang
buat bekal gi Merang
di Setiu pata peranginan
singgah sebetor ke Rantau Abang
kita tengok penyu telor
Kita tengok penyu telor
Slamat datang weh
tempat kami ramai-ramai
slamat datang
negri kami….
Begitulah antara lirik lagu Blus Terengganu Kita nyanyian Kumpulan Iklim yang cukup popular sekitar tahun 1990an dahulu.
Siapa sangka lagu ciptaan pemain gitar utama kumpulan tersebut, Umarul Mahdzar Embong dan lirik ditulis oleh Mat Adorina itu meletup dan menjadi siulan para penggemarnya sehingga sekarang.
Malah, boleh dikatakan setiap hari lagu ini akan berkumandang menerusi corong-corong radio di Terengganu terutama jika berlangsungnya sesuatu program berkaitan pelancongan.
Kekuatan lirik dan populariti lagu itu seakan sudah sebati dengan penggemarnya terutama masyarakat di Terengganu.
Siapa yang tidak kenal dengan Kumpulan IKLIM dan irama lagu berunsur blues itu, menyebabkan kebanyakan yang mendengarnya akan turut bernyanyi bersama.
Maka itu, tidak keterlaluan jika dikatakan sumbangan IKLIM memang amat besar dalam membantu promosi pelancongan Terengganu.
Lagu Blus Terengganu Kita yang dimuatkan menerusi album ketiga Kumpulan IKLIM berjudul Budi diterbitkan pada tahun 1992 dibawah Syarikat Suara Cipta Sempurna (SCS) yang kemudiannya bertukar nama kepada Rock Record.
Ketika itu penulis merupakan seorang wartawan hiburan dan hubungan dengan anggota Kumpulan Iklim memang amat rapat sehingga ada rakan rakan menggaitkan penulis sebagai Pengurus IKLIM.
Sebenarnya hubungan penulis dengan anggota kumpulan berkenaan khususnya Mohalim (pemain gitar bass) bermula dari Terengganu lagi dan hingga sekarang masih bertemu.
Selain Mohalim, empat lagi anggota kumpulan tersebut ialah Saleem (penyanyi), Umarul (gitar utama), Kama (drum) dan Huzali (keyboard).
Mereka diberi peluang merakamkan album baharu setiap tahun ketika itu susulan berjaya mencipta kejutan besar dalam industri hiburan tanah air menerusi album percubaan berjudul Satu Kesan Abadi yang diedarkan pada tahun 1990.
Album diterbitkan Komposer Wan Zul juga anak Terengganu telah menggeggarkan industri muzik tanah air.
Malah lagu ‘berhantu’ Suci Dalam Debu ciptaan Wan Zul dan lirik oleh S.Amin Shahab bukan sahaja menjadi siulan peminat di Malaysia sebaliknya turut berjaya merobek industri muzik Indonesia yang ketika itu terlalu sukar bagi artis tanah air memasuki pasaran negara itu.
Mengimbas sejarah kumpulan berkenaan, penulis mendapati ada sesuatu yang unik mengenai kumpulan IKLIM.
Kemunculan dan kejayaannya terlalu pantas, bermula daripada perpecahan tiga kumpulan rock yang ditubuhkan di Terengganu sebelum itu.
Justeru, lima anak muda terbabit cuba bergabung tenaga di mana Saleem bekas penyanyi kumpulan Super Skala, Mohalim dan Kama (The Kids) dan Umarul (Midnight) diikuti Huzali bergabung tenaga menubuhkan IKLIM.
Penerbitan album pertama IKLIM ketika itu mempunyai rencah hubungan negeri Terengganu amat rapat.
Selain penerbitnya, Wan Zul, pemilik syarikat SCS, Sim Swee Tian dan penulis lirik, Azam Dungun juga berasal dari Terengganu.
Kerjasama erat ini menyebabkan album Satu Kesan Abadi berjaya dijual melebihi 150,000 unit dalam tempoh beberapa bulan dan kumpulan itu berjaya menerima anugerah Triple Platinum Disc.
Leave a Reply