Tiga beradik kembar seiras bersemangat, rindu ke sekolah

KEMBAR tiga seiras dari Pasir Tumbuh di Kota Bharu bersemangat dan rindu untuk kembali ke sekolah yang akan bermula esok di Kelantan.

Nur Qaleesya Kaira Mansur, Nur Qaisara Aisya dan Nur Qisya Izara yang masing-masing berusia lapan tahun, sibuk membeli-belah kelengkapan sekolah pada hari ini bersama-sama ibunya.

Ibu mereka, Nor Ziana Farahziah Muhamad Fauzi, 37, berkata, anak ketiga, keempat dan bongsu daripada lima beradik tersebut bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Keling, Kota Bharu sejak tahun lalu.

“Tahun ini akan kembali ke sekolah tetapi masih kekal dalam darjah satu, sehinggalah pada Mac nanti baru akan beralih ke darjah dua.

“Selain bersemangat untuk kembali ke sekolah kerana merindui pelajaran, mereka gementar kerana sudah terlalu lama tidak ke sekolah,” katanya ketika ditemui di sebuah kedai borong pakaian dan kasut sekolah di Bandar Baru Kubang Kerian, hari ini.

Nor Ziana, seorang penjual pisang goreng di gerai di hadapan rumahnya di Pasir Tumboh bercuti daripada berniaga bagi menguruskan kelengkapan lima anak yang akan kembali bersekolah esok.

“Selain tiga beradik itu, dua lagi kakak mereka iaitu Nur Amina Iris, darjah enam di sekolah sama dan Nur Intan Farhana, 14, pelajar tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Long Ghafar 2 juga bersiap untuk kembali bersekolah esok.

“Lima orang bersekolah memang perlu wang banyak kira-kira RM1,000 untuk belikan uniform dan kasut baharu kerana pakaian dan kasut sedia ada sudah tidak muat kerana masing-masing semakin membesar,” katanya.

Tambah beliau, rutin harian sebagai ibu kepada lima anak itu akan bertambah sibuk sebaik sesi persekolahan bermula kerana perlu menguruskan pengangkutan bagi memastikan anak-anak ke sekolah.

“Sudah agak lama ketinggalan pembelajaran walaupun ada sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tetapi tidak sama dengan sesi persekolahan bersemuka.

“Saya berharap anak-anak akan kembali belajar dengan baik apabila sekolah dibuka semula.

“Saya juga bekalkan anak-anak dengan pelitup muka dan pembasmi kuman sebagai langkah pencegahan jangkitan Covid-19,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *