Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang menafikan khabar angin akan menarik sokongan terhadap kerajaan Johor bagi membolehkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Tebrau itu berkata, sehingga kini beliau masih setia dengan Bersatu dan berpegang kepada pendirian parti berkenaan.

“Sehingga kini, saya masih ahli Bersatu dan masih lagi Ketua Bahagian Bersatu Tebrau. Khabar angin memang kita dengar macam-macam dan saya boleh jadi apa sahaja dalam khabar angin itu.

“Politik ini kita tidak tahu apa jadi akan datang. Hari ini boleh jadi kawan, esok jadi musuh, yang musuh pula boleh jadi kawan.

“Dalam perlembagaan kita ada kebebasan untuk sertai apa jua parti selagi tiada perubahan dari segi undang-undang, kita bebas untuk sertai mana-mana,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Festival Permainan Tradisional Negeri Johor di Johor Bahru, hari ini.

Sebelum ini, Mazlan menjadi bualan hangat dan khabar angin apabila beliau didakwa akan mengisytiharkan dirinya sebagai ADUN Bebas dan tidak menyokong kerajaan sedia ada.

Mengikut Perlembagaan, tindakan itu sekali gus membolehkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dibubarkan selepas tiada sokongan majoriti daripada pihak kerajaan selepas ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian meninggal dunia.

DUN Johor kini menyaksikan kerajaan sedia ada dipimpin Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad hanya mempunyai kelebihan satu kerusi iaitu 28 berbanding 27 kerusi milik pembangkang.

Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor turut menolak khabar angin akan berlakunya PRN Johor dalam masa terdekat.

“Setakat ini saya rasa tidak akan berlaku PRN dalam masa terdekat. Kita di Johor, walau ada satu majoriti, keadaannya amat stabil kecuali ada hal luar jangkaan berlaku.

“Namun, setakat ini dari segi keakraban dan juga perkongsian kuasa parti politik yang ada dalam kerajaan, kita tiada masalah untuk kekalkan kerajaan negeri,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here