Kaki mangsa hampir putus ditetak ketika disamun

SEORANG lelaki ditetak dengan sebilah parang semasa disamun lelaki bertopeng dalam kejadian di sebuah rumah di Kampung Bunut Rendang, Pasir Puteh, semalam.

Semasa kejadian pada pukul 2.20 petang, mangsa, 27, mengalami kecederaan parah hampir putus di pergelangan kaki kiri, luka di lengan kiri, di bahagian belakang badan dan bahu kiri.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk mendapatkan rawatan lanjut sebelum dirujuk ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama-sama rakannya sedang tidur di dalam sebuah bilik dan didatangi seorang lelaki bertopeng yang memakai sarung tangan hitam sambil memegang sebilah parang di tangan kanan.

“Lelaki itu terus menetak mangsa dan suspek kemudian mengambil telefon bimbit serta barang milik mangsa sebelum melarikan diri dengan menaiki kereta Perodua Alza berwarna putih dan bercermin gelap.

“Hasil temubual dengan jiran mangsa, mereka memaklumkan ada melihat kereta Perodua Alza berwarna putih yang berada di hadapan rumah mangsa.

“Jiran mangsa melihat seorang lelaki bertopeng, berpakaian hitam dan memakai sarung tangan hitam keluar dari rumah mangsa.

“Suspek memberi amaran kepada jiran mangsa dengan menunjukkan sepucuk pistol dan mengarahkannya supaya masuk ke dalam rumah,” katanya ketika dihubungi.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, suspek masuk di bahagian penumpang hadapan kenderaan dan kereta itu terus memecut keluar dari tempat kejadian.

Beliau berkata, mangsa kini dalam keadaan stabil dan siasatan terhadap kes itu masih dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun bersenjata.

“Punca kejadian masih belum dapat dipastikan lagi, namun modus operandi adalah samun dan mendatangkan kecederaan parah. Polis kini giat mengesan suspek,” katanya.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati mangsa mempunyai 12 rekod jenayah lampau masing-masing enam berkaitan kesalahan narkotik dan enam kesalahan jenayah harta benda.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *