PAS berpendapat, tiada keperluan untuk melantik Timbalan Perdana Menteri bagi membantu Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam urus pentadbiran negara.

Bagaimanapun Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, Ismail Sabri mempunyai kuasa untuk membuat pelantikan bagi jawatan nombor dua dalam kerajaan itu.

“Terpulang kepada Perdana Menteri sama ada untuk melantik Timbalannya kerana dia (Ismail) yang menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita di Marang, hari ini.

Abdul Hadi berkata, beliau berpendapat  setakat ini Ismail Sabri yang dilantik sebagai Perdana Menteri pada 20 Ogos tahun lalu telah menjalankan tugas dengan baik.

“Setakat ini kita dapati Ismail berjaya menjalankan tugas dengan baik… bukan saya yang menjalankan tugas. Jika dia (Ismail Sabri) rasa perlu (timbalan), dia boleh lantik,” katanya

Mengenai desas-desus rombakan Kabinet, , Abdul Hadi yang menganggap ia sebagai khabar berkata, kebiasaannya Perdana Menteri akan mengadakan perbincangan sebelum berbuat demikian.

“Saya tidak mendengar akan berlakunya rombakan Kabinet dan saya anggap ia hanyalah berita angin. Pada pandangan saya, semua menteri sudah menjalankan tugas dengan baik dan tidak perlu kepada rombakan Kabinet,” katanya.

Berhubung penangguhan  pelaksanaan ibadah umrah, beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, kerajaan membuat keputusan tepat apabila bertindak demikian.

Katanya, ia memandangkan  penangguhan tersebut demi kepentingan awam selepas mendapat nasihat dan penerangan risiko daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Memang dalam sejarah Islam, solat Jumaat pernah ditangguh di Masjid Nabawi sebab wabak.

“Dalam Islam, perkara yang perlu diutamakan manusia ialah agama diikuti nyawa, akal, keluarga dan duit. Duit kemudian sekali. Kalau nyawa diancam, kita kena utamakan nyawa dahulu. Jadi, keputusan kerajaan betul sebab mereka mendapat maklumat daripada ahli perubatan termasuk kerajaan Arab Saudi,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here