Tular ritual bertentangan dengan syariat Islam, Jakim teliti tindakan wajar

IBRAHIM Mat Zin atau nama gelarannya Raja Bomoh membuat laporan di Balai Polis Teluk Intan pada pukul 12.30 tengah malam tadi bertujuan menafikan upacara dilakukannya bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Raja Bomoh mendakwa upacara itu tidak bertentangan dengan akidah dan syariat Islam.

“(Sebaliknya mendakwa ia) hanya mendoakan keselamatan semua penduduk supaya tidak berlaku banjir.

“Laporan ini juga dirujuk kepada pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk siasatan pihak berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Terdahulu, video tular berdurasi 25.09 minit itu memaparkan seorang pengamal perubatan tradisional bersama-sama wanita melakukan ritual bagi menolak berlakunya banjir yang didakwa sebagai petua zaman dahulu.

Ahmad Adnan berkata, susulan tularnya video ritual berkenaan, Ketua Polis Balai Teluk Intan sudah membuat laporan polis pada 4.30 petang semalam.

Mengulas lanjut, katanya, upacara itu dilakukan di tepi Sungai Perak berhampiran sebuah kuil di Dataran Sungai Perak, Teluk Intan.

“Laporan berkenaan juga sudah dirujuk kepada Pejabat Agama Islam Daerah Hilir Perak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata,Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan meneliti tindakan sewajarnya dikenakan terhadap Raja Bomoh dan wanita terbabit.

Beliau berkata, tindakan individu berkenaan jelas bercanggah dengan ajaran Islam selain terdapat unsur khurafat serta tahyul.

“Saya sudah mengarahkan Jakim untuk meneliti apa sahaja tindakan yang sewajarnya kerana individu berkenaan sentiasa mencari publisiti sebegitu walaupun tidak mendapat sambutan.

“Tindakan yang dilakukan itu jelas membawa unsur bercanggah dengan ajaran agama dan ada unsur khurafat serta tahyul dalam upacara itu,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *