SETIAP kali banjir melanda, pasti timbul episod saling salah-menyalahkan, menuding jari dan menuduh kelemahan kerajaan sebagai punca berlakunya bencana alam tersebut.
Contohnya, pembalakan tidak terkawal, sistem saliran tidak diselenggara dengan baik dan pembangunan tidak mengambil kira kelestarian alam sekitar.
Amat sedikit rakyat Malaysia yang sedar bahawa sikap mereka yang pengotor dan suka membuang sampah merata-rata turut menyumbang kepada insiden banjir.
Sering kali kita lihat pemandu atau penumpang dengan selamba mencampak sampah dari kenderaan masing-masing ke atas jalan raya. Lebih dikesali, mereka seolah-seolah tidak mempunyai sekelumit pun perasaan bersalah.
Apabila hujan, sampah-sarap yang bertaburan di atas jalan raya akan hanyut dibawa air ke parit dan keadaan itu boleh menyebabkan sistem saliran tersumbat kerana dihalang oleh sampah.
Jika sistem saliran diselenggara dengan baik sekali pun, sampah-sarap akan dihanyutkan terus ke dalam sungai pula. Apabila aliran air sungai tidak lancar, banjir boleh berlaku ketika hujan turun terlalu lebat dan berterusan.
Memang kerajaan bertanggungjawab memastikan sistem saliran yang merangkumi longkang, parit dan sungai sentiasa diselenggara dengan baik. Namun, bertepuk sebelah tangan sahaja tidak akan berbunyi.
Sebahagian anggota masyarakat masih tidak mempedulikan tentang aspek penjagaan kebersihan yang sangat mudah iaitu jangan buang sampah merata-rata.
Malah, ada yang langsung tidak rasa bersalah membuang sampah-sarap terus ke dalam sungai. Bila berlaku banjir, ramai mengambil jalan mudah dengan menyalahkan kerajaan sahaja.
Perangai buruk segelintir rakyat Malaysia juga dapat dilihat sewaktu aktiviti gotong-royong dilakukan di kawasan perumahan. Ada penduduk yang keberatan untuk menyumbang tenaga dan membiarkan sahaja orang lain membersihkan kawasan di sekitar rumah mereka.
Sampaikan longkang di depan rumah sendiri yang tersumbat pun harap orang lain yang bersihkan semasa gotong-royong.
Bila longkang tersumbat, tahu pula mereka memekak tuduh pihak berkuasa tempatan tak buat kerja. Walhal, mungkin mereka juga yang membuang sampah ke dalam longkang.
Mungkin usaha menjaga kebersihan persekitaran nampak seperti remeh-temeh sehingga diabaikan oleh sebahagian besar rakyat Malaysia. Mereka bersikap demikian kerana sentiasa berfikiran ‘ada orang lain yang akan membersihkan sampah yang dibuang’.
Mentaliti sebegini mesti dihapuskan sepenuhnya kerana ia boleh menyumbang kepada bencana alam yang buruk seperti banjir besar sehingga mengorbankan nyawa dan merosakkan harta benda.
Ingatlah, setiap kali kita menuding jari menyalahkan kerajaan, empat jari lagi menghala ke diri kita sendiri.
Leave a Reply