PENGERUSI Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mengesahkan bahawa partinya meminta beliau bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Walau bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu masih memberi sebarang jawapan yang konkrit berhubung perkara tersebut.
“Dalam pilihan raya umum akan datang, umur saya sudah 97 atau 98 tahun.
“Saya tahu saya sudah tua tetapi saya agak beruntung sebab masih boleh bercakap dengan orang, masih boleh berhujah dan memimpin parti.
“Parti mahu saya bertanding. Saya tak fikir saya patut bertanding tetapi saya akan berikan sokongan penuh pada Pejuang,” katanya seperti dipetik dari wawancara dengan Cityplus FM.
Walaupun Pakatan Harapan (PH) berjaya menumbangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU-14 di bawah kepimpinan Dr Mahathir, ramai yang sangsi dengan kemampuan tokoh politik veteran tersebut untuk terus bergiat aktif dalam politik tempatan.
Beliau dilihat gagal mengawal kumpulan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PH yang mendesaknya memberi laluan kepada Presiden PKR itu untuk menjadi Perdana Menteri.
Setelah menerima tekanan yang hebat, Dr Mahathir membuat keputusan mengejut apabila meletak jawatan pada 24 Februari 2020 lantas menyebabkan rejim PH tumbang selepas berkuasa selama hanya 22 bulan.
Tindakan melulu beliau itu menjerumuskan negara dalam situasi tidak menentu lebih-lebih lagi, pandemik COVID-10 mula melanda Malaysia.
Selain itu, Dr Mahathir yang dilihat sangat berkuasa selama menjadi Perdana Menteri keempat dahulu dikatakan tidak berupaya mengulangi prestasi serupa semasa menjadi Perdana Menteri ketujuh.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi sering dikritik ekoran gagal mengawal tindak-tanduk sekutu-sekutunya dalam DAP yang sering menyinggung sensitiviti orang Melayu dan umat Islam di negara ini.
Berdasarkan prestasi Dr Mahathir yang kurang memuaskan itu, adalah lebih baik sekiranya beliau terus bersara daripada politik dan tidak bertanding pada PRU-15.
Leave a Reply