TEMASYA main pantai dahulunya merupakan satu upacara tradisi cukup popular bagi kebanyakan masyarakat di Terengganu khususnya mereka yang tinggal di kawasan perkampungan nelayan tertentu.
Walaupun pada asalnya upacara puja pantai ini sering tertumpu di kawasan perkampungan nelayan yang mempunyai kuala (muara), tetapi pesta main pantai di Batu Burok, Batu Rakit dan Mengabang Telipot adalah paling mendapat perhatian ramai.
Berdasarkan cerita orang tua-tua dahulu, penganjuran Temasya Main Pantai bukan hanya melibatkan golongan nelayan (orang pantai) semata-mata, sebaliknya ia turut melibatkan golongan petani yang ketika itu dikaitkan sebagai orang darat.
Bagi versi ‘Orang Pantai’ , upacara diadakan kononnya untuk memulihkan semangat laut, sama ada dikaitkan dengan perolehan rezeki yang banyak ataupun untuk menenàngkan penunggu laut terutama ketika musim ‘buka kuala’ dan juga ‘tutup kuala’.
Istilah musim ‘buka kuala’ bagi nelayan ialah waktu di mana mereka ingin kembali melakukan aktiviti di laut selepas berehat panjang pada musim tengkujuh.
Manakala ‘tutup kuala’ pula ialah waktu mereka mula menyimpan bot-bot di pengkalan atau di dalam kuala ekoran tiupan angin Monsun Timur Laut yang melanda.
Sewaktu usia penulis masih kecil, sepanjang musim tengkujuh merupakan saat amat menakutkan kerana setiap tahun berlakunya kejadian bot karam.
Barangkali berdasarkan peristiwa itulah mengapa masyarakat nelayan di Kampung Seberang Marang bersepakat mengutip derma menganjurkan Temasya Main Pantai.
Pada sebelah malam, penduduk kampung beramai-ramai berpeluang menyaksikan persembahan kesenian tradisional seperti Wayang Kulit, Mak Yong, Menora dan Rodat.
Selain itu, bagi sesetengah tempat pula, temasya ini turut mengorbankan seekor kerbau balau (putih) dan dihanyutkan ke laut untuk menulihkan semangat laut atau dikenali sebagai nenghalau hantu air supaya ia tidak mengganggu nelayan menangkap ikan.
Bagi versi ‘Orang Darat’ pula, temasya tersebut diadakan setiap tahun dengan mendirikan bangsal-bangsal beratap dan berdindingkan daun kelapa atau nipah di tepi pantai termasuk di Batu Burok dan Tanjung Gelam, Mengabang Telipot.
Mereka akan melakukan aktiviti berkenaan bersama keluarga selepas selesai musim menuai.
Mereka akan berhimpun untuk berpesta dan tinggal bersama keluarga masing-masing di dalam bangsal di tepi laut itu selama beberapa hari .
Penulis difahamkan selain ingin menjauhkan diri daripada ditimpa bala, upacara itu turut dikaitkan sebagai tempat untuk berkumpul keluarga Orang Darat’ sambil bergembira meraikan hasil tuaian yang diperoleh.
Bagaimanapun tradisi tersebut kini hanya tinggal kenangan.
Walaupun program Pesta Pantai masih diteruskan di Pantai Batu Burok dan Mengabang Telipot namun pengisian dan pendekatannya sangat jauh berbeza, tiada lagi upacara puja memuja atau korban kerbau balau, sebaliknya ia lebih kepada aktiviti berkonsepkan karnival dengan menonjolkan persembahan tradisi secara santai.
Malah, program Pesta Pantai versi baharu anjuran Kerajaan Terengganu ini diteruskan sebagai satu usaha untuk menarik lebih ramai pelancong bertandang ke negeri ini selain untuk mengekalkan warisan dan budaya lama.
Seorang sahabat penulis yang berasal dari Kampung Mengabang Telipot, Zukkifli Jusoh memberitahu, program Pesta Main Pantai di kampung berkenaan masih diaadakan pada setiap tahun.
Namun katanya, pengisian aktiviti yang diadakan adalah tertumpu kepada mendirikan bangsal untuk berkelah bersama keluarga, persembahan kesenian, permainan tradisional dan jualan hasil produk kampung.
“Program diadakan hanya secara santai sahaja, tiada unsur-unsur tàhyul dan syirik”, jelas beliau.
Leave a Reply