pengeluaran KWSP

Pakar-pakar ekonomi selar tindakan Najib desak keluarkan wang simpanan KWSP

AHLI ekonomi menyelar kempen bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membantu mangsa banjir, mengatakan antara lain pencarum mungkin terpaksa bekerja lebih lama dari tempoh persaraan.

Ahmed Razman Abdul Latiff dari Universiti Putra Malaysia berkata, berdasarkan angka KWSP, seramai 6.1 juta atau 50% ahli berumur kurang 55 tahun mempunyai simpanan kurang RM10,000 apabila bersara.

“Jika ahli mengeluarkan wang sebanyak RM21,000 melalui i-Lestari (RM6,000), i-Sinar (RM10,000) dan i-Citra (RM5,000), mereka terpaksa bekerja empat hingga lima tahun lebih lama dari umur persaraan untuk menampung kembali wang yang dikeluarkan sebelum ini,” katanya kepada portal MalaysiaNow.

Oleh itu, kata beliau, isu pencarum KWSP tidak mempunyai wang yang cukup untuk persaraan adalah amat serius dan ia akan menjadi lebih teruk setiap tahun apabila ramai ahli KWSP akan mula bersara.

Beliau merujuk kepada program-program pengeluaran wang yang diperkenalkan sejak dua tahun kebelakangan ini berikutan penularan pandemik Covid-19 yang menyaksikan ramai tenaga kerja dibuang kerja atau kehilangan pendapatan.

Menurut rekod, sebanyak RM101 billion dikeluarkan oleh ahlinya melalui i-Lestari, i-Citra dan i-Sinar.

Dalam satu kenyataan, KWSP memberi amaran rata-rata pencarum tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menghadapi usia tua.

Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini pula menyatakan pengeluaran KWSP bukanlah jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi rakyat.

Katanya, pengeluaran itu bakal membebankan generasi masa depan.

Penganalisis ekonomi, Muhammed Abdul Khalid berkata, situasi tersebut sudahpun dijangka memandangkan sebelum ini sudah ada pakar-pakar ekonomi yang memberikan amaran untuk tidak mengeluarkan wang daripada KWSP untuk menangani kesan Covid-19.

“Jangan benarkan pengeluaran duit simpanan hari tua milik rakyat untuk membantu mereka yang terkesan dengan krisis.

“Ini bukan penyelesaian. Ini menambahkan masalah di masa hadapan,” katanya

Muhammed memberi amaran usaha sukar dihadapi KWSP dan pencarum untuk menaikkan semula jumlah simpanan mereka kelak.

“Polisi tidak bertanggungjawab ini mengakibatkan implikasi negatif jangka masa panjang,’’ katanya.

Katanya, data KWSP menunjukkan satu daripada dua orang Melayu mempunyai simpanan yang amat sedikit, dan akan berada di bawah paras kemiskinan apabila bersara kelak.

“Yang miskin kelak adalah orang Melayu rakyat marhaen, bukannya pemimpin atasan yang berfikiran sempit,’’ katanya.

Muhammed berkata, bantuan yang diperlukan haruslah datang dari kerajaan, dan menyelar dakwaan tidak cukup wang untuk memberi bantuan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19.

Bagi penganalisis ekonomi dari Universiti Sunway, Yeah Kim Leng, wang simpanan persaraan dan simpanan untuk kecemasan perlu dibezakan.

“Keadaan bertambah buruk apabila ramai tiada simpanan untuk kegunaan kecemasan.

“Sepatutnya, dalam keadaan kecemasan seperti sekarang (banjir), kerajaan yang patut tangani seperti beri duit bantuan atau soft loan (pinjaman tanpa faedah) supaya wang persaraan tidak terjejas dan rakyat tidak akan berdepan krisis kewangan apabila bersara,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam amanat tahun baru turut mengumumkan bantuan tambahan kepada mangsa-mangsa banjir.

Mereka boleh menerima sehingga RM61,000 jumlah bantuan mengikut keadaan.

Mengulas mengenai bantuan itu, Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Afzanizam Abdul Rashid berkata pinjaman tanpa faedah yang diperkenalkan boleh meringankan beban mangsa banjir selain bantuan tunai yang lain.

“Selain kerajaan memfokuskan bantuan kewangan sahaja, pertingkatkan lagi usaha lain seperti kumpulkan mekanik-mekanik sukarela ini dan pusatkan usaha mereka (centralize their effort).

“Selain itu, kerajaan boleh bekerjasama dengan NGO untuk memberikan pertolongan secara terperinci, utamakan bantuan asas yang lebih bermakna,” katanya kepada MalaysiaNow.

Katanya, kerajaan tidak mempunyai masalah untuk meningkatkan perbelanjaan memandangkan mereka mempunyai ruang fiskal membantu rakyat.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *