Apakah Ismail Sabri akan menerima nasib seperti Muhyiddin?

PADA  28 Ogos lalu, melalui ruangan ini penulis pernah ‘menasihatkan’ UMNO supaya jangan mengganggu dan tidak memberi tekanan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.

Artikle tersebut boleh dibaca di https://wartarakyat.com.my/index.php/2021/08/28/biarkan-ismail-sabri-bekerja-umno-jangan-beri-tekanan/

Penulis membuat gesaan itu kerana pada 27 Ogos lalu mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) menggariskan beberapa perkara yang perlu dilaksanakan oleh Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO sebaik sahaja beliau dilantik sebagai Perdana Menteri. Dan dalam kenyataan medianya Presiden UMNO, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi berkata;

‘’Beberapa panduan utama telah dibincangkan dan DIPERSETUJUI bersama YAB Perdana Menteri merangkap Naib Presiden 1 UMNO bagi memastikan kelancaran perjalanan kerajaan.’’

Kini memasuki hampir lima bulan Ismail Sabri menduduki jawatan Perdana Menteri, ‘bahang’ tekanan daripada UMNO semakin terasa.

Kalau melihat senario yang sedang dilalui oleh Ismail Sabri sekarang, ia tidak ada atau hampir menyerupai apa yang pernah dilalui Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri. Tekanan kiri dan kanan, depan dan belakang, semakin dirasai oleh Ismail Sabri tambahan pula apabila berlakunya bencana banjir.

Jika pandemik Covid-19 dijadikan’senjata’ bagi menjatuhkan Muhyiddin atas alasan gagal menguruskan wabak itu, biarpun apa yang dinikmati negara kini adalah hasil Pelan Pemulihan Negara yang beliau rancangkan, Ismail Sabri pula berhadapan dengan bencana banjir. Perdana Menteri ‘diserang’ bertubi-tubi, bukan sahaja oleh pihak-pihak di luar parti tetapi juga di dalam parti sendiri.

Beberapa pemimpin yang sebelum ini bersuara lantang mengkritik kepemimpinan Muhyiddin dan kemudian diam seketika selepas Muhyiddin berundur, kini kembali bersuara mengkritik Perdana Menteri.

Pada sama, pemimpin-pemimpin berpengaruh dalam UMNO dan Pergerakan Pemuda UMNO tidak habis-habis membuat tuntutan berkaitan pengeluaran wang simpanan KWSP.

Agaknya itu sahaja modal yang ada kepada Pemuda UMNO untuk meraih sokongan sehingga mereka tidak memperdulikan sama sekali pandangan pakar-pakar ekonomi berhubung kesan akibat pengeluaran seumpama itu.

‘Paling trajis’ apabila kenyataan Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan dianggap tidak mewakili UMNO kerana beliau adalah Pengarah Ekonomi kepada Perdana Menteri. Memang betul Shahril pun tidak kata beliau mewakili UMNO apabila membuat kenyataan itu tetapi fakta yang beliau bentangkan adalah dari fakta ekonomi bukan main hentam kromo macam kepemimpinan Pemuda UMNO yang mendesak tanpa memikirkan kesannya kepada pencarum.

Memang tidak dapat dinafikan, memperjuangkan rakyat mengeluarkan wag apatah lagi dalam jumlah mencecah RM10,000 boleh menggembirakan mereka tetapi selepas itu apa? Adakah Pemuda UMNO merasakan melalui cara itu mereka boleh popular dan meraih undi dalam pilihan raya?

Sepatutnya, pemimpin-pemimpin UMNO ‘berpijak di bumi nyata’ dan jangan menganggap apabila Ismail Sabri sudah menjadi Perdana Menteri mereka boleh menuntut apa sahaja daripada beliau sehingga akhirnya memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Bera itu.

Betul! Ismail Sabri adalah Perdana Menteri daripada UMNO tetapi itu bukan bermaksud beliau harus tunduk dengan segala desakan atau permintaan parti tersebut. Sebagai Perdana Menteri banyak perkara yang perlu beliau pertimbangkan sebelum membuat keputusan, tidak kiralah siapapun yang membuat tuntutan.

Begitulah juga dalam isu banjir, Ismail Sabri, Kabinet dan agensi-agensi kerajaan ‘diserang’ habis-habisan seolah-olah mereka tidak melakukan apa-apa dalam menangani bencana tersebut.

Ismail Sabri pun mengakui ada kelemahan tetapi ia bukanlah bermakna mereka hanya berpeluk tubuh apatah lagi berhadapan dengan satu bencana banjir yang di luar jangkaan.

Keadaan itu samalah seperti mana negara dilanda pandemik Covid-19. Puak-puak yang mahu mencari keuntungan politik,mengambil kesempatan politik dan ‘menangguk di air keruh’ menyerang kerajaan Muhyiddin habis-habisan.

Walaupun pelbagai pakej bantuan yang bernilai hampir RM350 bilion dilaksanakan namun mereka tidak peduli semua itu.

 Itulah situasi yang dihadapi oleh Ismail Sabri sekarang, Perdana Menteri sudah mengumumkan pelbagai bantuan dan peruntukan bagi membantu rakyat terkesan akibat banjir. Bukan sahaja bantuan kewangan mereka tetapi juga pemulihan infrastruktur.

Tetapi adakahh puak-puak yang ‘hebat-hebat’ tersebut memperdulikannya? Sudah tentu tidak! Ia kerana mereka mereka mempunyai matlamat politik dan agenda tersendiri.

Justeru penulis melihat ‘serangan’ ke atas Ismail Sabri tidak akan berhenti dan tidak mungkin akan berhenti. Namun penulis yakin rakyat sedang menilai apa yang sedang berlaku khususnya tingkah laku sesetengah pemimpin UMNO yang semakin memualkan walaupun sudah kalah dalam PRU-14 lalu.

Bagaimanapun penulis yakin Ismail Sabri tidak akan mudah tunduk apatah lagi mengalah dengan pelbagai tekanan yang dihadapi termasuklah ada ‘bunyi-bunyi’ mahu  meletakkan senasib beliau seperti Muhyiddin,

pastinya, Ismail Sabri sendiripun ada ‘seni politiknya’…sama-samalah kita tunggu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *