Tongkang bernilai RM6 juta tersadai di Pantai Melawi dituntut

AGENSI perkapalan Jassari Sdn. Bhd. membuat tuntutan terhadap sebuah tongkang MMS 009 bernilai RM6 juta yang tersadai di Pantai Melawi, Bachok, hari ini.

Pengurus Jassari Sdn. Bhd., M. Fakrul Razzi Muhammad berkata, tuntutan dibuat pihaknya bagi mewakili pemilik tongkang itu, Miccennium Marine Shipping yang berpangkalan di Singapura.

“Semasa menunda tongkang itu sebelum ini, salah satu enjin bot yang terlibat dalam proses berkenaan telah mengalami kerosakan sekali gus menjejaskan kerja-kerja tersebut.

“Ketika itu keadaan laut bergelora dan kelajuan angin mencecah 37 knot. Situasi tersebut cukup bahaya kepada kerja-kerja menunda tongkang berkenaan,” katanya ketika ditemui pemberita di Pantai Melawi, hari ini.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaluddin.

Menurut beliau, situasi itu menyebabkan kru yang terlibat dalam kerja-kerja menunda terpaksa memotong tali tongkang tersebut bagi mengelakkan insiden lebih buruk berlaku.

Beliau berkata, kesemua tujuh kru bot tunda yang terlibat dalam misi itu selamat berlabuh di jeti Ship Yard, Semerak, Pasir Puteh.

M. Fakrul Razzi berkata, sejurus menerima maklumat daripada kru, pemilik tongkang berkenaan telah bertindak mencari pihaknya untuk menguruskan perkara tersebut.

“Kita dapat tahu perkara ini pada Khamis, sehari kemudian, pihak kami telah membuat satu laporan polis di Balai Polis Jelawat untuk memaklumkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa.

“Kami akan mencari sebuah bot tunda untuk membawa keluar tongkang ini dari Malaysia dan pemiliknya kemudian akan putuskan sama ia akan digerakkan ke Songkla, Thailand atau kembali ke Singapura,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *