MAHKAMAH Persekutuan menetapkan 29 Mac ini untuk mendengar permohonan Malaysiakini berhubung sabitan yang mendapati organisasi berita tersebut bersalah menghina mahkamah atas komen lima pembaca.
Memetik laporan Malaysiakini, peguam mengesahkan perkara itu hari ini dan menyatakan ia akan diadakan menerusi aplikasi Zoom.
Sebelum ini, Mahkamah Persekutuan menetapkan semakan itu akan didengar pada 12 Oktober lepas.
Walau bagaimanapun, tarikh itu ditangguhkan ekoran penyusunan semula kes mahkamah itu.
Pasukan peguam Malaysiakini memfailkan permohonan semakan itu pada Mei tahun lalu.
Malaysiakini memohon agar sabitan diketepikan agar kes dapat didengar semula di Mahkamah Persekutuan.
“Majoriti (hakim) Mahkamah Persekutuan dalam keputusannya pada 19 Februari 2021 menangani isu dan/ atau perkara tertentu tanpa memberi peluang kepada pemohon (Malaysiakini) untuk pendengaran sama.
“Ini pelanggaran prinsip keadilan semula jadi.
“Keputusan majoriti itu bertentangan dengan Seksyen 98 (2) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” kata usul itu.
Seksyen 98(2) akta tersebut memperuntukkan “pematuhan suatu kod industri sukarela berdaftar hendaklah menjadi suatu pembelaan terhadap apa-apa pendakwaan, tindakan atau prosiding daripada apa-apa jenis, sama ada dalam mahkamah atau selainnya, yang diambil terhadap seseorang (yang tertakhluk kepada kod industri sukarela itu) berkenaan dengan suatu perkara yang diperkatakan dalam kod itu.”
Keputusan tersebut dicapai melalui majoriti 6-1 yang disampaikan oleh panel tujuh hakim yang bersidang dengan diketuai oleh Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Rohana Yusuf.
Selain Rohana, keputusan majoriti dibuat oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Azahar Mohamed; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; serta hakim Mahkamah Persekutuan, iaitu Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh, Datuk Vernon Ong Lam Kiat dan Datuk Abdul Rahman Sebli, manakala Datuk Nallini Pathmanathan menentang.
Rohana berkata, mahkamah mendapati pertuduhan mempermudah penerbitan komen pembaca terhadap Mkini Dotcom telah dibuktikan.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan syarikat berkenaan bersalah menghina mahkamah.
Jabatan Peguam Negara memohon kebenaran untuk memulakan prosiding komital terhadap Mkini Dotcom serta Ketua Pengarang Malaysiakini, Steven Gan berkaitan lima komen pembaca mengenai sebuah artikel diterbitkan Malaysiakini pada 9 Jun tahun lalu bertajuk ‘CJ orders all courts to be fully operational from July 1’ yang disifatkan sebagai menyinggung perasaan.
Leave a Reply