tidur dalam lori

Banjir: Warga emas tidur dalam lori takut barang kena curi

SEORANG warga emas memutuskan untuk tidur di dalam lori bagi menjaga keselamatan harta bendanya daripada dicuri pihak tidak bertanggungjawab, selepas rumahnya di Kampung Belimbing Dalam di Alor Gajah ditenggelami banjir separas dada sejak Sabtu lepas.

Othman Baba, 83, berkata dia sememangnya tidak pernah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) setiap kali kampung tersebut dilanda banjir, kerana risau rumahnya dipecah masuk pencuri.

Berikutan itu, dia yang telah 17 tahun menetap di situ, memilih untuk tinggal di dalam lori milik anak lelakinya itu, yang diletakkan di jalan raya yang tidak dinaiki air berdekatan rumahnya.

“Dua anak lelaki saya menjalankan perniagaan sewa khemah. Oleh kerana mereka tiada tempat nak letak barang, mereka simpan dalam stor di rumah saya.

“Sejak banjir pada Sabtu lepas, dah dua malam saya bersama seorang lagi anak lelaki dan anak perempuan tidur dalam lori ini sebab takut barang-barang tersebut dicuri,” katanya ketika ditemui Bernama hari ini.

Othman berkata ada penduduk kampung yang memintanya supaya berpindah ke PPS, tetapi beliau memutuskan untuk terus berada di situ, sementara menunggu air surut.

Katanya bagi mendapatkan bekalan makanan dia akan keluar membeli di kedai atau menunggu bantuan makanan yang dihulurkan oleh mana-mana badan bukan kerajaan (NGO) mahupun sukarelawan.

Menurutnya sejak Julai tahun lalu, sudah empat kali rumahnya dinaiki air memandangkan ia berada di kawasan rendah dan berdekatan sungai.

“Saya dah bina pangkin di dalam rumah bagi meletakkan perabot dan barangan elektrik, namun tetap tenggelam kerana paras banjir tinggi,” katanya. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *