Oleh RAHIMI MOHAMAD
KERTAS siasatan melibatkan kes Long Tiger yang bertindak melarikan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak di Johor, dua minggu lalu hampir selesai untuk dilengkapkan oleh polis.
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya bagaimanapun sedia membuat permohonan reman tambahan sekiranya diperlukan bagi melengkapkan lagi siasatan terhadap lelaki berusia 32 tahun yang berketurunan Rohingya itu.
“Sambung reman atau tidak, ini bergantung kepada siasatan kalau belum lengkap mungkin kita akan minta sambung reman dan keadaan ini juga bergantung kepada Majistret sama ada akan bagi reman tambahan atau tidak.
“Tetapi saya rasa Insha-Allah, ‘more or less’ kita dah siapkan kertas siasatan, kes ini adalah ‘straight forward’ iaitu dia melarikan diri daripada tahanan. Kita akan lihat kalau tidak cukup, kita akan minta reman tambahan,” katanya.
Ayob Khan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Santai Cycle Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Johor 2021 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Pada Selasa lalu, polis berjaya menahan suspek dalam buruan itu yang menyembunyikan diri di rumah seorang pondan di Jalan Kuala Ketil, Sungai Petani, Kedah ketika serbuan dilakukan sepasukan anggota polis.
Seorang lelaki berperwatakan perempuan yang berusia 46 tahun turut dicekup dalam serbuan itu kerana disyaki bersubahat melindungi Long Tiger sebelum dua lagi lelaki ditangkap di Batu Pahat, tidak lama kemudian.
Sementara itu, Ayob Khan berkata, jumlah tangkapan melibatkan kes terbabit masih kekal empat orang termasuk suspek utama Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab. Hamid.
Pada pukul 11.55 pagi, 15 Disember lalu, Long Tiger meloloskan diri melalui pintu utama Mahkamah Majistret Tangkak sebelum perbicaraan melibatkannya di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan kerana pemerasan bermula.
Ketika itu, dia juga masih mempunyai status perbicaraan di bawah Seksyen 506 kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya serta kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 di Mahkamah Sesyen Muar.
Dalam kes ugutan bunuh itu, Long Tiger yang sudah berkahwin tidak ditawarkan jaminan selepas pihak pendakwaan mengambil kira tertuduh dibimbangi boleh mengganggu saksi utama pendakwaan.
Sementara itu, dalam tempoh dia melarikan diri, peguamnya, Datuk Sharudin Ali mengumumkan penarikan diri daripada mewakili lelaki itu di mahkamah dalam semua kes yang dituduh terhadapnya kerana sukar untuk mendapatkan arahan selanjutnya.
Dalam kejadian sama juga, Ketua Polis Daerah Tangkak; Ketua Polis Balai Tangkak dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam kini sedang dikenakan siasatan tatatertib atas kesalahan kecuaian dalam penyeliaan tugas.
Leave a Reply