MAJLIS Syura Ulama menegaskan, perundingan kerusi antara parti-parti Melayu Islam perlu dilaksanakan semaksimanya bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dan bagi mendapat kemenangan dengan majoriti besar.
Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin berkata, Muzakarah Majlis Syura Ulama yang bersidang bersetuju untuk menegaskan kepentingan “Memperkasakan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional” dalam usaha menyatukan kuasa politik umat Islam demi maslahah terbaik buat Islam dan negara.
‘’Semangat Ta’awun Siyaasi dalam MN dan PN juga hendaklah sentiasa disuburkan oleh pimpinan dan ahli parti-parti politik Melayu Islam dengan pertemuan bersemuka dan bermusyawarah secara berterusan.
‘’Masing-masing hendaklah sentiasa berlapang dada, saling memaafkan dan mengelak dari menjadikan media terbuka termasuk media sosial sebagai medium perantaraan bagi menyelesaikan krisis dan pertikaian,’’ katanya dalam kenyataan malam ini.
Pendirian Majlis Syura Ulama itu menamatkan spekulasi berhubung pendirian Pas berhubung Muafakat Nasional selepas parti tersebut menjadi anggota rasmi Perikatan Nasioanal (PN) yang turut disertai oleh Bersatu.
Leave a Reply