van denda mahkamah zakat anggota polis

Buruh dipenjara 10 bulan, pukul rakan dengan tukul lambat pulangkan motosikal

GARA-GARA berang kerana rakan lambat memulangkan motosikal dipinjam, seorang buruh dihukum penjara 10 bulan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini, selepas mengaku bersalah memukul kepala rakannya dengan tukul besi sehingga parah.

Hakim Norma Ismail turut menjatuhkan hukuman denda RM5,000 ke atas Muhammad Aizat Amran, 21 dari Felda Palong yang membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibaca oleh jurubahasa.

Dia turut berdepan hukuman penjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas Anuar Riduan, 36 dengan menggunakan sebatang tukul besi.

Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 1.40 petang di tepi jalan hadapan sebuah rumah di Felda Palong, 21 Disember lalu.

Justeru, tertuduh melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh memukul rakannya itu selepas lewat memulangkan motosikal yang dipinjam rakannya itu.

Tidak lama kemudian berlaku pertengkaran mulut sebelum dia memukul kepala rakannya itu dengan tukul besi sebanyak satu kali sehingga menyebabkan bahagian kepala sebelah kanan mangsa mengalami keretakan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi manakala tertuduh tidak diwakili peguam. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *