Biar apapun kata pembangkang, Sanusi tetap kekal menjadi ‘Sanusi’

Oleh RIZQI ZABIDI

Mungkin ada yang melihatnya sebagai garang, tak kurang juga yang menganggapnya bangang.

Tetapi Muhammad Sanusi Md. Nor tetap kekal menjadi ‘Muhammad Sanusi Md. Nor’. Baginya apa yang dirasakan betul akan diperkatakan dan dilaksanakan manakala apa yang salah, akan ditegur serta dibangkang mengikut caranya sendiri yang kadang-kadang dilihat kurang menyenangkan.

Berikutan itu mungkin ada yang kurang senang dengan pembawakan diri Muhammad Sanusi. Di pihak pembangkang, mereka tidak habis-habis mencela Muhammad Sanusi dengan alasan ‘menegur’ secara terbuka dalam beberapa Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini.

Itu kita fahamlah, kadang-kadang niat nak menegur itu bukannya banyak mana sangat tetapi lebih kepada hendak menjatuhkan imej Muhammad Sanusi atas nama politik. Itu perkara biasa.

Tetapi Muhammad Sanusi akhirnya terus memilih untuk menjadi jujur kepada diri sendiri. Membesar sebagai anak miskin dari keluarga 13 beradik, Muhammad Sanusi tidak memilih untuk hanyut dalam status Menteri Besarnya kini untuk selesa bersenang-lenang menerima layanan VIP.

Sebaliknya beliau sentiasa berusaha untuk kekal sedar diri. Itulah antara satu kelebihan yang ada pada Muhammad Sanusi yang mana dia tidak perlu berpura-pura kononnya merendah diri untuk menyesuaikan diri dengan rakyat seperti sesetengah pemimpin bertaraf ‘bangsawan’ yang lain.

‘Berkampung’ di Hulu Langat bantu mangsa banjir  tanpa publisiti

Sebagai contoh apabila berlaku banjir di Selangor baru-baru ini, mungkin ramai dalam kalangan rakyat di luar Kedah tidak menyedari bahawa Muhammad Sanusi turut turun ke negeri itu bagi menghulurkan bantuan.

Selama tiga hari di sana sejak 26 Disember lepas, Muhammad Sanusi tidak tidur di hotel mewah setaraf kelayakannya selaku Menteri Besar sebaliknya bermalam di Dewan Seri Cempaka, Kajang bersama kira-kira 300 sukarelawan dari Kedah yang lain.

Di dewan itulah beliau turut serta berkongsi makanan, bilik mandi dan tandas bersama sukarelawan. Selepas subuh, ada tazkirah ringkas dikongsikan sebelum kesemua sukarelawan termasuk dirinya bergerak, ke lokasi ditetapkan bagi melaksanakan tugas masing-masing.

Muhammad Sanusi turut sama mengusung paip panjang bersama sukarelawan untuk memasang  paip air di perkampungan
Orang Asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat.

Sampai di lokasi, Muhammad Sanusi juga tidak hanya datang melambai-lambai kepada mangsa. Beliau juga sama sekali tidak membuat kerja secara ‘olok-olok’ bagi membersihkan rumah penduduk untuk menanti gambarnya diambil oleh jurugambar.

Sebaliknya Menteri Besar Kedah itu sama-sama turut bekerja berjam-jam lamanya termasuk mengendalikan ‘backhoe’ di Batu 20, Sungai Lui dekat Hulu Langat. Di hari lainnya pula, Muhammad Sanusi turut sama mengusung paip panjang bersama sukarelawan untuk memasang  paip air di perkampungan Orang Asli Kampung Paya Lebar, Hulu Langat.

Inilah antara perkara yang perlu dipelajari oleh pemimpin-pemimpin lain daripada Muhammad Sanusi. Bagaimana mahu menjadi ‘natural’ dalam menyantuni keperluan rakyat tanpa perlu melayan kehendak penasihat-penasihat kayangan yang mahu mereka kelihatan gah kononnya berbanding rakyat kebanyakan.

Melihat kepada kerja yang dilakukan Muhammad Sanusi di Selangor,  mungkin terdapat pihak yang mempertikaikan sama ada Menteri Besar itu tiada kerja hendak dilakukan di Kedah hingga ‘merayap’ ke Selangor berhari-hari.

Namun hakikat yang perlu diketahui umum adalah, Muhammad Sanusi sebenarnya melakukan semua itu ketika beliau berada dalam tempoh bercuti sejak 25 Disember lalu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *