Struktur kondominium Sri Duta di KL disahkan berisiko alami tanah runtuh lebih kritikal – DBKL

STRUKTUR bangunan Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta kini disahkan berisiko amat tinggi terjadinya runtuhan tanah yang lebih kritikal.

Penilaian dan dapatan itu telah disahkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram) serta perunding yang dilantik pemaju lepas mengadakan kajian pada Isnin.

Dalam kenyataan yang diedarkan pada Selasa, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkata, dapatan itu dibuat berikutan terdapat tanda-tanda berlakunya pergerakan tanah yang memberi kesan kepada struktur bangunan.

“Antara tanda berlakunya pergerakan tanah adalah column (tiang) dengan dinding yang telah terpisah, surface tension crack (rekahan permukaan akibat ketegangan) di beberapa permukaan tanah serta keretakan di bawah lantai.

“Tanda-tanda ini menunjukan keadaan di kawasan itu adalah tidak selamat dan akan menimbulkan risiko kepada penghuni Kondominium Sri Duta 1 serta penghuni yang berada di tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) itu,” kata kenyataan tersebut.

KEADAAN runtuhan tebing yang berlaku Kondominium Sri Duta 1, Taman Duta, semalam.

DBKL berkata, terdapat empat blok yang terkesan, membabitkan 34 unit kediaman dan penghuni telah dinasihatkan untuk berpindah atas faktor keselamatan.

“Pihak badan pengurusan bersama telah mengosongkan unit-unit penduduk yang terkesan sebagai tindakan awalan bagi menghalang hakisan yang berterusan dan boleh menyebabkan pergerakan kepada pilecap.

“Kerja-kerja pemulihan cerun dan bangunan dalam kawasan pemaju akan dilakukan dengan kadar segera dan akan disemak oleh DBKL dan Ikram,” katanya.

Menurutnya pada masa sama Ikram juga sedang memantau pergerakan tanah dan bangunan secara dekat.

Semalam, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim telah mengarahkan penduduk di Apartmen Sri Duta 1 mengosongkan kediaman masing-masing selepas berlaku tanah runtuh pada bahagian bawah beberapa blok apartmen di situ.

Terdahulu, pada 18 Disember lepas, media melaporkan berlaku tanah runtuh di kawasan berhampiran kondominium Sri Duta 1 berikutan hujan lebat berterusan di Lembah Klang. 


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *