SEORANG pembantu kantin sekolah dipenjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret Kota Bharu hari ini kerana kesalahan menjual rantai emas milik seorang warga emas pada November lalu.
Nazrini Shuhada Abdullah, 27, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya sebelum Majistret Muhammad Fitri Mokhtar menjatuhkan hukuman tersebut.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menjual seutas rantai leher emas seberat 14.72 gram milik seorang wanita warga emas berusia yang 81 tahun kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) Smart Venture Sdn. Bhd. di Perumahan Desa Darul Naim di sini pada 30 November lalu.
Pertuduhan terhadap Nazrini Shuhada dibuat mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Che Wan, manakala tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Atikah Abd. Halim.
Pada prosiding itu, Asmah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal terhadap tertuduh sebagai pengajaran agar tidak mengulangi kesalahan itu.
Siti Atikah dalam rayuannya memohon hukuman penjara yang minimum dengan alasan tertuduh insaf atas kesalahan itu.
“Pengakuan bersalah tertuduh menjimatkan kos dan masa pihak mahkamah. Tertuduh berpendapatan RM30 sehari dan menanggung seorang anak berusia dua tahun serta bapanya yang uzur,” katanya.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama enam bulan berkuat kuasa hari ini.
Leave a Reply