KEMENTERIAN  Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menyegerakan kerja-kerja baik pulih kemudahan infrastruktur di bawah kelolaannya yang terjejas dilanda bencana banjir.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara infrastruktur yang mengalami kerosakan teruk termasuk jalan kampung, jambatan kecil yang menghubungkan antara kampung, surau dan juga longkang kampung yang perlu dibaik pulih secepat mungkin.

“Kerosakan kecil, kita boleh buat kerja baik pulih dengan segera namun kerosakan besar seperti jambatan runtuh kita perlu tunggu hingga kos membaiki atau bina baharu diperolehi daripada Jabatan Kerja Raya (JKR ). Seperti di Jelebu, banyak jalan kampung yang rosak dan ia turut diberi perhatian untuk dibaiki,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan KPLB kepada Pejabat Parlimen Jelebu di Kompleks UMNO Simpang Pertang di Jelebu hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Jelebu yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias.

Mahdzir berkata,  banyak kawasan luar bandar yang terlibat banjir di Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Selangor turut mengalami kerosakan jalan kampung.

‘’Saya telah meminta pegawai-pegawai KPLB khususnya di Bahagian Prasarana, Bahagian Kesejahteraan Rakyat dan Bahagian Kewangan untuk mengambil tindakan segera untuk melaksanakan kerja-kerja baik pulih di kawasan terjejas banjir di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Mahdzir turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan Mangsa Banjir 2021 Keluarga Malaysia kepada 373 mangsa banjir daerah Jelebu di Dewan D’sury, Kuala Kelawang.

Sebelum itu, Mahdzir turut meninjau infrastruktur jalan di Kampung Remal, jambatan Kampung Kemin dan Rumah Rakyat Sungai Rotan yang rosak teruk dilanda bencana banjir besar kali ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here