KERAJAAN Negeri Selangor akan memperluaskan bantuan banjir kepada mereka yang terjejas akibat bencana itu yang turut meliputi pertanian, perniagaan dan persekolahan.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan tersebut akan diperluaskan dari semasa ke semasa dengan tumpuan sekarang diberikan kepada pembersihan dan pengagihan bantuan sokongan asas.
“(Bantuan) akan diumum dari semasa ke semasa sebab sekarang ni kita nak selesaikan mangsa banjir di rumah dan yang telah meninggal dunia.
“Lepas ni baru kita tengok tanah pertanian, sekolah dan perniagaan. Saya tahu petani pun banyak berdepan dengan masalah kebun dan ladang mereka yang terkesan, kedai dan perkilangan juga ada yang terkesan.
“Memang kita nak bantu semua tapi kita lihat pada kemampuan dan keupayaan kita,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi Jambatan Dengkil, hari ini, yang runtuh dalam kejadian banjir baru-baru ini.
Mengenai bantuan wang ihsan bencana, beliau berkata kerajaan negeri menganggarkan lebih 30,000 keluarga yang terlibat dengan banjir akan mendapat bantuan itu.
Beliau berkata bantuan itu akan mula diagihkan esok kepada 9,000 keluarga yang tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS).
“Saya mula nak agih esok yang ada di PPS, yang dah balik kita akan cuba panggil dan dalam masa yang sama kita akan kenal pasti pula yang tidak berpindah ke PPS.
“Di Sepang sahaja kita ada 9,000 keluarga yang tidak berpindah, jadi so far ada 18,000 keluarga. Angkanya saya rasa mencecah lebih 30,000 keluarga kerana di daerah lain, kita tak sempat nak kenal pasti mangsa yang terlibat,” katanya.
Pada 21 Dis lepas, Amirudin mengumumkan bantuan wang ihsan bencana kepada semua penduduk yang terkesan akibat banjir di negeri itu meliputi bantuan RM10,000 kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia akibat banjir serta bantuan RM1,000 setiap keluarga yang terkesan bencana banjir.
Antara bantuan lain yang turut diumum adalah bantuan kesihatan, pengecualian bil air selama sebulan, penangguhan pinjaman kepada usahawan Hijrah Selangor serta pungutan sisa pepejal.
Mengenai Jambatan Dengkil, Amirudin berkata jambatan berkenaan dijangka siap dibaiki sepenuhnya dan dibuka untuk laluan kenderaan pada akhir Januari depan.
Beliau berkata pada masa ini kerja-kerja pembaikan jambatan yang menghubungkan Dengkil ke Banting itu sudah mencapai kemajuan 30 peratus.
“Pihak Jurutera Daerah menjangkakan tarikh paling awal adalah pada 20 Jan depan, kita akan lengkapkan dan (jambatan) dibuka semula dua atau tiga hari kemudian selepas mendapat taraf selamat,” katanya kepada pemberita selepas meninjau lokasi jambatan itu hari ini.
Jambatan tersebut runtuh pada 17 Disember lalu akibat hakisan dan kejadian banjir pada keesokan harinya memburukkan keadaan. – Bernama
Leave a Reply