Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG pemandu lori mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan memandu di bawah pengaruh dadah hingga menyebabkan kematian seorang anggota Pasukan Gerakan Am (PGA), Jumaat lalu.
Tertuduh, Hairul Azman Abdullah, 40, membuat pengakuan tersebut sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Majistret, Nadhirah Abdul Rahim di Mahkamah Majistret Sungai Petani, hari ni.
Mengikut kertas pertuduhan, Hairul Azman yang berasal dari Sungai Besar, Selangor didakwa memandu sebuah lori jeni Hino di dengan penagaruh dadah jenis methamphetamine dalam badannya hingga mengakibatkannya tidak berdaya mengawal kenderaan tersebut.
Keadaan itu didakwa menyebabkan kematian anggota PGA tersebut yang merupakan pemandu sebuah kenderaan jenis Honda City, Muhamad Aziem Azman di Kilometer 79.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara dalam Daerah Kuala Muda.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan pukul 2.09 pagi, 24 Disember lalu dengan pertuduhan dikendalikan Pegawai Pendakwa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, Inspektor Syed Ahmad Ridzuan Syed Zainol mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara antara 10 hingga 15 tahun dan didenda antara RM50,000 hingga RM100,000 serta hilang kelayakan lesen bagi tempoh minimum 10 tahun.
Tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tengku Hezrul Anuar Tengku Abdul Samad.
Terdahulu Syed Ahmad Redzuan memohon mahkamah menetapkan jaminan pada kadar RM50,000 serta meletakkan syarat tambahan supaya tertuduh melaporkan diri di balai polis terdekat dengan tempat tinggalnya sebulan sekali.
Begitu pun Tengku Hezrul meminta mahkamah untuk mengurangkan kadar jaminan itu dengan alasan tertuduh perlu menyara isteri yang tidak bekerja, anak yang masih kecil serta ibu dan bapa yang uzur.
Nadhirah kemudiannya menetapkan kadar jaminan sebanyak RM6,000 dengan serang penjamin dengan tarikh sebutan semula ditetapkan pada 26 Januari depan.
Leave a Reply