Dr Radzi

KPM cadang fasiliti penting di sekolah ditempatkan di tingkat atas – Dr. Radzi

KEMENTERIAN Pendidikan Malaysia (KPM) bercadang menempatkan bilik-bilik utama di sekolah di aras yang lebih tinggi dalam usaha mengurangkan kerosakan harta benda sekiranya berlaku bencana banjir.

Menterinya, Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin berkata, ini termasuk pejabat pentadbiran, bilik guru, bilik komputer dan bilik buku teks.

Katanya, perkara itu diambil kira ekoran kejadian banjir di luar jangkaan yang berlaku baru-baru ini sehingga menyebabkan banyak kerosakan kepada kemudahan utama sekolah.

Mohd Radzi berkata demikian dalam satu hantaran menerusi akaun Facebook rasminya yang mengemas kini aktiviti hariannya turun padang ke SMK Bentong, Pahang untuk bersama-sama bergotong royong membersihkan sekolah berkenaan yang terjejas akibat banjir, hari ini.

“Saya dimaklumkan ini kali pertama SMK Bentong ditenggelami banjir di mana paras air hampir mencecah tingkat dua.

“Fasiliti sekolah terjejas teruk. Keseluruhan perabot dan kelengkapan sekolah bagi bilik-bilik yang terletak di tingkat bawah mengalami kerosakan teruk, termasuk bilik guru dan bilik komputer,” katanya.

KPM katanya, akan memastikan penyelanggaraan ifrastruktur serta penggantian perabot dan kelengkapan dapat dilaksanakan segera.

Dalam pada itu, Mohd Radzi berterima kasih atas kerjasama pihak guru, kakitangan sekolah, sukarelawan Guru Pewaris Negara dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut serta dalam aktiviti gotong royong itu.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *