KETIKA DAHULU, apabila tiba musim tengkujuh, pergerakan rakyat di negeri -negeri Pantai Timur khususnya Terengganu agak terbatas.
Selain hujan lebat berterusan dan laut pula bergelora akibat Monsun Timur Laut, sistem perhubungan pula tersekat ekoran jalan-jalan utama terpaksa ditutup kerana digenangi air banjir.
Perkembangan ini menyebabkan banyak aktiviti tidak dapat dilaksanakan sehingga sektor pelancongan negeri turut lumpuh.
Berdasarkan itulah, Perdana Menteri ketika itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi mencadangkan supaya satu penganjuran aktiviti sukan air peringkat antarabangsa, iaitu Kejohanan Monsoon Cup (Piala Monsun) dilaksanakan di negeri ini.
Antara lain usaha tersebut adalah untuk mengisi aktitivi pada musim tengkujuh disamping menarik pelancong ke negeri ini sekaligus memberi rezeki kepada rakyat, khususnya penduduk setempat.
Maka itu, pada tahun 2005, penganjuran Kejohanan Kapal Layar
Piala Monsun anjuran Kementerian Pelancongan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu telah diadakan di Pulau Duyong, Terengganu.
Bermula di sinilah, penulis mengenali nama Datuk Peter Gilmour dari Team PST, Australia yang juga sebagai penasihat kejohanan berkenaan.
Beliau juga adalah orang yang bertanggungjawab membawa Jelajah “World Match Racing” ke Malaysia.
Penulis bersama rakan- rakan media turut berpeluang menyertai perlumbaan ini sebagai pasukan jemputan.
Sejak ada Kejohanan Piala Monsun, penulis mendapati musim tengkujuh di Terengganu semakin meriah, rakyat tidak lagi berkurung dalam rumah, sebaliknya mereka bersama keluarga teruja ke Pulau Duyong atau Dataran Shahbandar Kuala Terengganu untuk melihat perlumbaan kapal layar serta pelbagai aktiviti sampingan lain.
Malah dengan adanya kejohanan tersebut, ia turut menjadikan Pulau Duyong sebagai lokasi perlancongan bertaraf dunia.
Selain rakyat tempatan, kehadiran pelancong luar negara sedikit sebanyak telah membantu meningkatkan ekonomi penduduk setempat apabila hotel-hotel dan pusat penginapan sentiasa penuh, restoran, kedai makan dan pelbagai pusat perniagaan turut laris.
Turut diadakan sempena Piala Monsun ialah pelbagai acara sampingan lain seperti karnival, sukan rakyat, pameran produk Terengganu, sukan rakyat dan Lumba Perahu Panjang.
Malangnya, setelah 10 tahun Pulau Duyong terukir nama di kaca mata dunia luar, tiba-tiba acara berkenaan dihentikan dan ‘kapal layar’ yang berlumba seperti karam dilambung ombak musim tengkujuh.
Tindakan dibuat apabila ada pihak-pihak tertentu mendakwa penganjuran Piala Monsun sebagai membazir dan tidak mebawa sebarang keuntungan kepada negeri sekalipun dari aspek lain ia masih dianggap praktikal.
“Sepanjang Kejohanan Piala Monsun diadakan, setiap tahun saya bersama rakan-rakan akan membawa ahli keluarga ke Pulau Duyong untuk menyaksikan perlumbaan kapal layar.
“Apa yang menarik, ketika berada di Pulau Duyong, kami turut berpeluang menyaksikan pelbagai acara kesenian yang unik disamping dapat membeli produk hasil kerja tangan penduduk Terengganu,” ujar seorang sahabat penulis, Mohd Asri Ismail yang tinggal di Batu Pahat, Johor minggu lalu.
Mohd Asri yang datang bercuti ke Terengganu menyifatkan langkah menghentikan penganjuran acara berkenaan amat merugikan penduduk di Terengganu.
Selepas Kerajaan Terengganu tidak lagi meneruskan Piala Monsun, akhirnya penganjuran kejohan kapal layar berprestij itu telah berpindah ke Puteri Horbour Marina,Iskandar Puteri, Johor pada 2016.
Penulis berasa simpati apabila ada rakyat Terengganu yang mula seronok untuk menyertai perlumbaan setelah mempelajari teknik-teknik pelayaran seakan tersentak dengan keputusan tersebut.
Leave a Reply