Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG kanak-kanak lelaki meninggal dunia manakala adiknya pula cedera parah apabila kereta dipandu bapa mereka terbabas, lalu terjatuh ke dalam sungai di Jalan Sungai Korok dekat Jitra, Kubang Pasu, hari ini.
Menurut Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintenden Rodzi Abu Hassan, kanak-kanak tersebut, Haraz Safiy Haniz, 4, disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di zon merah, Hospital Jitra.
Katanya, adik kepada Haraz, Syafin Haadif Haniz, 2, kini masih mendapatkan rawatan di zon dan hospital sama.
“Polis menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.29 pagi. Berdasarkan siasatan awal, kereta dinaiki empat sekeluarga itu dalam perjalanan dari arah Pekan Jitra menuju ke Air Hitam.
“Sampai di lokasi kejadian, kereta dipandu bapa mangsa, Haniz Mohamad, 35, terbabas ke kanan lalu melanggar papan tanda di bahu jalan. Selepas itu kereta tersebut terjatuh ke dalam sungai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, akibat kejadian itu, Haniz mengalami kecederaan ringan manakala isterinya pula, Nurul Syahira Zamri luka di dahi.
“Selepas kemalangan itu berlaku, pemandu kenderaan tersebut berjaya mengeluarkan kesemua mangsa. Mereka kemudiannya dihantar ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan namun Haraz Safiy disahkan meninggal dunia di hospital berkenaan,” katanya.
Tambahnya jenazah kanak-kanak tersebut telah dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.
“Siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Leave a Reply