Oleh RIZQI ZABIDI

UMNO Bahagian Merbok menuntut supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau yang ditandingi MIC sejak 1995, dikembalikan kepada parti itu dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Merbok, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, hasrat itu telah disuarakan secara sebulat suara dalam Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Merbok pada 18 Disember lalu.

Beliau yang juga bekas Ketua Pemuda UMNO negeri berkata, tuntutan itu tidaklah bermakna bahawa UMNO cuba menonjolkan imej sebagai ‘abang besar’ mahu pun pembuli sebaliknya dibuat bersandarkan kepada sentimen, angka serta hakikat bahawa MIC sudah tidak berupaya menjanjikan kemenangan buat Barisan Nasional (BN) pada PRU akan datang.

“Hakikatnya ini bukan tuntutan kosong atau penuh emosi sebaliknya dibuat berdasarkan angka, perubahan demografi politik dan sentimen yang sudah sekian lama ‘berakar’ dalam kalangan rakyat.

“Antara faktor tuntutan ini adalah pertambahan pengundi Melayu yang amat ketara dalam DUN ini. Angka terkini menunjukkan pengundi Melayu di DUN Bukit Selambau sudah pun mencecah angka 61 peratus,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Sebelum ini UMNO turut menuntut kerusi Parlimen Alor Setar daripada MCA berikutan jumlah pengundi Melayu yang kini mencecah 64 peratus di situ selain kekalahan dihadapi parti komponen BN tersebut dalam beberapa PRU lalu.
Kerusi DUN Bukit Selambau mula dipertandingkan pada pilihan raya umum 1986 dengan UMNO bertanding kerusi berkenaan pada PRU 1986 dan 1990 sebelum diambil alih MIC sejak PRU 1995. 

Shaiful Hazizy menambah, rekod prestasi MIC dalam yang kecundang dalam setiap pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK) juga menunjukkan bahawa mereka tidak mampu untuk memberi cabaran dalam PRU akan datang.

Selain itu katanya, MIC Merbok juga dilihat tidak mampu mengenengahkan calon tempatan yang kuat dan berkaliber malah sejak 2013, MIC telah meletakkan calon dari luar kepimpinan MIC Merbok untuk mewakili BN di DUN Bukit Selambau.

“Faktor Undi 18 juga perlu diambil kira kerana ia akan menambah jumlah pengundi Melayu ke tahap 70 peratus di Bukit Selambau pada tahun depan.  

“Lagi pun selama ini jentera UMNO dilihat terus menjadi penyumbang dominan di setiap daerah mengundi. Justeru sekiranya calon UMNO diberi ruang bertanding, semangat juang dan motivasi jentera boleh dijadikan sandaran untuk BN kembali merampas DUN Bukit Selambau,” katanya.

Tambahnya, MIC diminta untuk berlapang dada dan menerima perubahan ini sebagai rakan setia dalam BN.

“Akar umbi UMNO sudah acap kali berjuang dan berkorban demi memenangkan calon MIC mewakili BN dan kini sudah tiba masanya parti itu kembali berkorban atas semangat setia kawan.

“Jangan anggap ini sebagai satu pengkhianatan atau ‘tikam belakang’ kerana ini adalah adaptasi taktikal demi kepentingan BN. Apa yang penting adalah kita mahu menang dan jangan jadikan ego atau emosi sebagai sandaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here