KEMENTERIAN Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menambah bilangan pusat pemindahan sementara (PPS), bagi mengatasi masalah lebihan kapasiti mangsa banjir di PPS, kata Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun.
Beliau berkata, pada permulaan hanya 5,731 PPS yang berdaftar di seluruh negara dan kementerian telah menambah 78 PPS lagi bagi menampung pertambahan jumlah mangsa, terutamanya di kawasan teruk terjejas.
“Bencana ini tidak diduga… ada rumah yang tidak pernah dinaiki air turut dinaiki air, yang penting mereka berjaya menyelamatkan diri dan kita bagi masuk (ke PPS berhampiran) sementara kita buka PPS lain, untuk pindahkan dan beri perlindungan kepada mereka,” katanya.
Rina berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Wisma Belia di Kuantan hari ini, yang menempatkan 224 individu daripada 63 keluarga dari sekitar Kuantan, yang mula dilanda banjir sejak Ahad lepas.
Kementerian juga cuba menyediakan fasiliti dan keperluan kepada mangsa banjir sebaiknya dan sekiranya ada isu berbangkit, mangsa boleh menghubungi bilik gerakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang beroperasi 24 jam sehari.
Sementara itu, Rina berkata pihaknya menghargai kesudian pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan menghulurkan sumbangan, dan tidak akan menghalang proses penyampaian bantuan itu kerana tidak mahu kerenah birokrasi ‘mengganggu’ misi bantuan tersebut.
“Bila orang nak bantu kita tidak boleh halang. Apa yang penting barang bantuan sampai kepada penerima, namun sekiranya mereka hantar ke pusat pemindahan seperti ini, pihak pengurusan boleh rekod dan tahu (barang) apa yang diterima dan apa lagi diperlukan mangsa menjadikan ia lebih teratur,” katanya.
Rina juga berkata selain menempatkan kaunselor bertauliah untuk membantu psikososial mangsa banjir di PPS, unit pengamal ‘MamaCare’ di bawah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) turut disediakan bagi membantu memberikan rawatan kepada ibu yang baharu melahirkan anak. – BERNAMA
Leave a Reply