Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PERBADANAN Alam Sekitar Negeri Johor (PASNJ) perlu ditubuhkan bagi membantu mengatasi masalah pencemaran dari kawasan perindustrian dan loji kumbahan terutama di Pasir Gudang yang masih berlarutan sehingga kini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Che Zakaria Mohd. Salleh berkata, penubuhan PASNJ penting bertujuan menyelia segala perundangan untuk mengawal keselamatan alam sekitar terutama kualiti udara dan air di Johor.
Jelas beliau, ini kerana Johor terutama Pasir Gudang mempunyai kawasan industri yang terbesar di negara ini melibatkan lebih 5,000 kilang antarabangsa dan tempatan beroperasi.
“PASNJ boleh merancang, menyelaras, mengurus dan memulihara alam sekitar selain mengenal pasti kilang-kilang atau loji kumbahan yang menyebabkan pencemaran udara dan air di Pasir Gudang.
“Kita dapati kita ketika ini, punca pencemaran adalah disebabkan pelepasan sisa kilang yang tidak terkawal dan tercemar ke dalam sungai,”
katanya dalam sidang akhbar di Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Taman Bukit Dahlia, Pasir Gudang, hari ini.
Katanya, kebanyakan loji rawatan kumbahan di daerah ini juga menjadi punca pencemaran kerana tidak berfungsi dengan baik dan melepaskan air yang tidak dirawat dengan bersih ke dalam sungai.
Menurutnya, loji rawatan kumbahan sedia ada perlu dinaik taraf kerana sudah terlalu lama atau memerlukan pembinaan baharu dengan sistem canggih dan memenuhi piawaian Jabatan Alam Sekitar (JAS).
Keadaan itu katanya, pelepasan air dari loji rawatan kumbanan menjadikan air sungai di daerah ini hitam dan berbau busuk malah tiada lagi hidupan yang dapat hidup berdasarkan aduan nelayan tempatan berkenaan kemerosotan hasil tangkapan sejak beberapa tahun lalu.
Beliau berkata, mungkin disebabkan jumlah kilang yang terlalu banyak, pihak JAS, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pihak berkaitan tidak mampu melakukan pemantauan secara menyeluruh atau berkala.
“Itu belum dikira lagi dengan kewujudan kilang-kilang haram di Pasir Gudang yang membuang sisa tercemar dari kilang mereka ke dalam sungai. Semasa isu pencemaran Sungai Kim Kim sebelum ini, terdapat lebih 100 kilang haram di daerah ini,” katanya.
Ketika ini katanya, RM4.5 juta diperuntukan antaranya membersihkan sampah sarap dan program pemulihan meningkatkan mutu sungai di Johor namun sebenarnya jumlah itu masih belum cukup serta tidak menjamin kelestarian alam sekitar untuk jangka masa panjang.
“Demi untuk merealisasikan impian rakyat Johor untuk menikmati alam sekitar yang lebih sempurna. Diharap pihak kerajaan negeri Johor dapat menyokong dalam melaksanakan penubuhan PASNJ,” ujarnya.
Leave a Reply