POLIS Diraja Malaysia (PDRM) bersedia menambah jumlah keanggotaan polis bantuan sekiranya terdapat keperluan serta permintaan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat persendirian.

Timbalan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, Datuk Mazli Mazlan berkata, ketika ini terdapat kira-kira 59,000 polis bantuan yang bertugas di sebanyak 253 buah GLC dan syarikat persendirian di seluruh negara.

“Jika ada keperluan (untuk ditambah anggota polis bantuan), kita boleh pertimbangan bergantung kepada permohonan yang dibuat oleh pihak syarikat,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri persidangan tahunan Persatuan Polis Bantuan Malaysia (MAPA) ke-32 yang turut dihadiri Presiden MAPA, Mohd. Razali Abdul Aziz di Pulau Pinang hari ini.

Dalam perkembangan sama, Mazli berkata, PDRM akan meningkatkan tahap kemahiran dan kepakaran polis bantuan supaya dapat bertindak mencegah jenayah di premis seliaan masing-masing dengan lebih cekap.

Menurut beliau, ia selaras dengan ancaman jenayah ketika ini yang lebih kompleks dan pelbagai sekali gus memerlukan polis bantuan lebih berkemahiran dalam menangani isu jenayah di bawah seliaan masing-masing.

“Latihan yang lebih maju ini perlu diberikan kepada anggota dan pegawai polis bantuan kerana mereka juga sebahagian petugas barisan hadapan serta sentiasa berada di lapangan,” ujarnya.

Sementara itu ditanya mengenai penugasan anggota polis bantuan dalam berdepan bencana banjir ketika ini, Mazli berkata, setakat ini mereka hanya diminta untuk bertugas di kawasan seliaan masing-masing.

“Setakat ini mereka masih belum diminta mengawal lokasi-lokasi lain, tetapi jika ada keperluan kita akan panggil mereka,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here