DUA beranak yang meredah air banjir di kawasan padang bola berhampiran Bangunan UMNO di Mentakab, ditemukan mayatnya pukul 10 pagi ini.
Musa Ahmad, 53 tahun, ditemui pada jarak 100 meter dari lokasi kejadian sekitar jam 10 pagi.
Mangsa ditemui pasukan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) JBPM Bukit Angin, Temerloh dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Ismail Abdul Ghani berkata, mayat anaknya, Mohamad Aireel Zikree, 10 tahun, ditemui di lokasi sama kira-kira dua jam kemudian.
“Menurut komander operasi, mayat mangsa kedua, seorang kanak-kanak lelaki telah dijumpai di lokasi yang sama pada pukul 11.50 pagi.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa lemas ditutup pukul 12.30 tengah hari,” kata Ismail dalam satu kenyataan.
Selasa lalu, seorang lelaki dewasa dan seorang kanak-kanak dihanyutkan arus ketika cuba meredah air di kawasan padang bola di Mentakab.
Menurut kenyataan JBPM Pahang, operasi pencarian dilakukan dengan menggunakan bot aluminium oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Mentakab dan Bukit Angin.
Leave a Reply