ARAHAN bersiap siaga kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk terlibat dalam operasi banjir telah diterima daripada peringkat atasan sejak dua bulan lepas, kata Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.
“Pengarahan dari atas sejak dua bulan lepas, kata siap siaga, kalau dah air naik saya tidak tunggu lagi jika saya ada anggota dan aset sedia, saya akan selamatkan orang awam dahulu nak tunggu apa lagi,” katanya pada sidang media Ops Banjir Taman Sri Muda di Shah Alam hari ini.
Beliau berkata, demikian bagi menjawab dakwaan bahawa ATM turun membantu mangsa banjir tanpa kelulusan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan memaklumkan pihaknya bersiap siaga untuk terlibat dalam operasi banjir, sekiranya ada kenaikan air di mana-mana kawasan.
Mengakui keadaan bencana yang dihadapi agak kelam-kabut pada peringkat awal, Affendi berkata, perkara itu sentiasa berlaku dalam keadaan bencana di mana-mana tempat.
“Kalau di Amerika Syarikat pun, ketika taufan berlaku mereka juga menghadapi masalah yang sama tetapi itu tidak semestinya menjadi titik noktah, kita perlu perbaiki dari situ.
“Sudah tentu pada hari pertama, keadaan kelam-kabut tetapi sekiranya semua orang berusaha bersama-sama dan memainkan peranan mereka, kita boleh selesaikannya dan kurang orang yang menderita,” katanya sambil menambah waktu darurat ketika ini, semua pihak perlu bekerjasama.
Affendi berkata, pada waktu bencana, tidak ada satu sistem pun yang betul untuk memenuhi semua jenis musibah dan satu-satunya cara adalah semua orang bekerjasama dan menyelesaikannya. Memang pada mulanya kita akan kelam-kabut tetapi selepas menempuhnya semua akan diselesaikan.
Beliau berkata, ATM kini bersedia untuk menghadapi musim Monsun yang biasanya akan mengakibatkan banjir di negeri Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.
“Ingin saya ingatkan bahawa untuk bencana banjir ini, saya fikir kita harus bersedia, (situasi) terburuk belum berakhir. Monsun ini belum sampai lagi di kawasan Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor yang merupakan kawasan tradisi. Jadi anggota kami semua berada di sana untuk memastikan jika apa-apa berlaku mereka akan berada di tempatnya,” kata beliau.- BERNAMA
Leave a Reply