WALAUPUN generasi sekarang tidak pernah berhadapan dengan peristiwa Bah Air Merah, namun ia tetap jadi igauan dan sebagai pedoman bagi kebanyakan masyarakat di Terengganu.
Malah, bagi masyarakat di negeri ini kejadian dialami nenek moyang serta ibu bapa mereka pada tahun 1926 lalu itu dianggap sebagai amat menakutkan.
Ketika itu penulis belum dilahirkan, tetapi pernah mendengar cerita Bah Air Merah melalui bapa dan juga orang tua-tua. Ia merupakan sejarah banjir paling besar yang melanda negeri Terengganu, 95 tahun lalu.
Berdasarkan cerita orang dulu-dulu, Bah Air Merah yang berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 30 November 1926 dan 19 Disember 1926 itu memang agak dahsyat serta menakutkan.
Ini kerana, kejadian tersebut telah menenggelamkan hampir keseluruhan bandar Kuala Terengganu dan juga beberapa daerah lain.
Menerusi catatan buku Sejarah Darul Iman hasil tulisan Allahyarham Datuk Muhammad Salleh Awang (Misbaha), dalam kejadian tersebut kawasan Bukit Payung Marang dinaiki air melebihi 0.615 meter dan Bandar Kuala Terengganu pula sedalam 84.74 inci.
Tulisan itu turut menyebut pada 19 Disember 1926, air mula naik sedalam satu meter di hadapan Pejabat Kastam dan Kawasan Kedai Binjai, Kuala Terengganu.
Menurut Misbaha, Hulu Terengganu paling teruk dilanda bencana itu manakala di Kemaman pula dua jambatan yang baharu dibina menyeberangi Kampung Limbong turut musnah.
Ekoran jejadian berkenaan, selain banyak rumah dan harta benda yang musnah, ia turut meragut nyawa dua penduduk.
Seorang penduduk Kampung Pulau Ketam, Ismail Mamat pernah menceritakan kepada penulis peristiwa Bah Air Merah yang melanda negeri ini sememangnya sukar dilupakan orang dulu-dulu.
“Ia sudah lama berlaku, namun masih tetap meninggalkan kenangan pahit kepada masyarakat, khususnya mereka yang pernah berhadapan dengan situasi tersebut”, katanya.
Semasa kejadian ujar Ismail, semua ternakan mati dan bekalan makanan pula terputus selama beberapa hari, menyebabkan penduduk terpaksa mencari pucuk pucuk kàyu bagi mengalas perut.
Bagi mereka yang tiada sampan pula katanya, mereka terpaksa menunggu di perkarangan rumah dengan mengharapkan simpati jiran-jiran.
“Pak cik sendiri sebenarnya tidak berhadapan dengan kejadian Bah Air Merah ini, tetapi apa yang diceritakan oleh arwah bapa pakcik, peristiwa itu memang benar-benar dahsyat dan sukar dilupakan.
“Sebab itulah, orang dulu-dulu sentiasa bercerita kepada anak-anak supaya peristiwa itu bukan sahaja menjadi bahan sejarah, tetapi juga sebagai pedoman setiap kali tiba musim tengkujuh,” ceritanya.
Penulis mendapati, apa yang pasti, sekalipun peristiwa itu sudah lama berlalu, masyarakat masih lagi mengingatinya.
Setiap kali tiba musim tengkujuh, masyarakat di negeri ini akan terus bercakap dan membandingkannya dengan peristiwa Bah Air Merah terutamanya apabila hujan lebat turun berpanjangan selama beberapa hari.
Maka itu, Bah Air Merah bukan setakat dianggap sebagai satu kejadian dahsyat dan menakutkan, sebaliknya ia turut
meninggalkan kesan amat mendalam kepada seluruh masyarakat terbabit.
Penulis difahamkan ia dipanggil Bah Air Merah kerana keadaan airnya berlumpur dengan warna pula kelihatan sedikit kemerahan.
Seingat penulis, siri kejadian banjir besar yang pernah penulis hadapi pada tahun tahun kebelakangan ini ialah 1971, 1986, 2014 dan 2017.
Kebanyakan banjir tersebut disebabkan ancaman ombak besar akibat Monsun Timur Laut membabitkan penduduk di tepi pantai, air pasang besar melibatkan penduduk di kawasan sungai dan juga masalah sistem saliran dan perparitan bagi penduduk kawasan bandar dan taman perumahan.
Sementara itu, bermula 17 hingga 21 Disember 2021 pula, bencana banjir di Terengganu yang melanda tiga daerah, Setiu, Dungun dan Kemaman hanya mencatatkan 423 mangsa daripada 122 keluarga dan ditempatkan di sepuluh Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Leave a Reply