Oleh RAHIMI MOHAMAD
AKIBAT tidak mahu diambil tindakan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara sehingga cuba merasuah polis sebanyak RM2,922, tiga warganegara India berdepan denda berlipat kali ganda di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini.
Selain denda RM15,000 setiap seorang, Kansara Sanjay Bhojabhai, 42; Chavda Narendrakumar Ranjitsinh, 36, dan Patel Gaurangkumar Hasmukhbhai, 33, turut dijatuhi hukuman penjara satu hari akibat kesalahan itu.
Malah Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail yang mendengar pengakuan bersalah ketiga-tiga bekas pengurus dan jurutera itu memutuskan mereka turut berdepan hukuman penjara selama sebulan sekiranya gagal membayar denda yang dikenakan.
Kesemua lelaki yang merupakan bekas pekerja di Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Gelang Patah, dekat sini dikenakan hukuman tersebut apabila mengaku salah selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa dalam bahasa Hindi.
Mengikut pertuduhan, mereka merasuah seorang anggota polis berpangkat Lans Koperal sebagai dorongan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melanggar SOP Pelan Pemulihan Negara apabila berhimpun di premis dalam kawasan jangkitan bagi tujuan sosial.
Kesalahan itu dilakukan pada pukul 10.16 malam di Balai Polis Sentral, Jalan Meldrum, di sini, 3 September lalu.
Ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Pendakwa Raya SPRM, Ikhwan Ihsan Jalaludin mencadangkan kesemua tertuduh dikenakan hukuman setimpal untuk dijadikan pengajaran, namun peguam, K. Bharathi memohon hukuman penjara minimum kerana pengakuan bersalah tertuduh telah menjimatkan masa mahkamah selain ia merupakan kesalahan pertama mereka.
Hujah Bharathi, kesemua tertuduh juga hilang punca pendapatan setelah dipecat pada September lalu dan masing-masing mempunyai tanggungan anak dan isteri yang tidak bekerja.
Sementara itu, dalam kamar sama, seorang peniaga minuman didenda RM20,000 selepas turut mengaku bersalah atas pertuduhan memberi rasuah berjumlah RM5,000 kepada seorang anggota polis, Februari lalu.
Hakim Ahmad Kamal turut memerintah Pek Cheng Chue, 44, dipenjara satu bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Mengikut pertuduhan pilihan, Cheng Chue didakwa memberi suapan kepada seorang anggota polis berpangkat koperal sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang kerana melakukan kesalahan memiliki minuman keras yang dipercayai tidak bercukai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah pusat penjaja di Jalan Mohd. Akil, Batu Pahat pada pukul 7 petang, 1 Februari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 214 Kanun Keseksaan di mana boleh dipenjara satu perempat daripada tempoh penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Nur Mahirah Mohd. Fauzi manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.
Leave a Reply