Lelaki miliki senjata tiruan, peluru dan buku ideologi komunis dihadapkan ke mahkamah

SEORANG lelaki dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Ipoh hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api tiruan, peluru, gari, baju kalis peluru, buku lima dan buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi Komunis.

Tertuduh Leong Yew Chen, 35, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Norashima Khalid dan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Di Mahkamah Sesyen, Leong mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan memiliki peluru hidup tanpa  lesen serta membawa dan memiliki senjata.

Tertuduh didakwa memiliki dua butir peluru hidup tanpa lesen senjata atau permit senjata yang sah mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia juga didakwa membawa dan memiliki dua buku lima yang disenaraikan sebagai senjata yang dijadualkan mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan maksimum 10 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Manakala, di Mahkamah Majistret, Leong didakwa memiliki lapan laras senapang tiruan dan empat pucuk pistol tiruan mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan  hukuman penjara tidak melebihi setahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa memiliki sepasang gari dan tiga baju kalis peluru tanpa kebenaran yang sah di bawah Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM500 atau penjara maksimum enam bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Dalam mahkamah sama, Leong turut didakwa memiliki 14 buku-buku cetakan hasil penerbitan larangan yang berunsurkan ideologi Komunis di bawah Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8(1) akta yang sama dan  jika sabit kesalahan, didenda tidak melebihi RM5,000.

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di  No 24, Jalan Margosa, Pasir Puteh, Ipoh pada 1.45 tengah hari, 10 Dis lepas.  

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fatimah Hannah Abd Wahab, Nor Syahirah Azahar dan Sufi Aiman Azmi manakala peguam Amrick Singh Sandu mewakili tertuduh.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana kes melibatkan Akta Senjata Api dan menetapkan 21 Jan tahun depan untuk sebutan semula kes bagi menunggu laporan pskiatri selepas pemeriksaan di Hospital Bahagia Ulu Kinta berikutan Leong mempunyai sejarah penyakit mental. – Bernama


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *