Oleh RIZQI ZABIDI
MCA Kedah tetap berharap untuk bertanding di Parlimen Alor Setar dalam pilihan raya umum akan datang walaupun kerusi berkenaan kini dituntut oleh UMNO.
Malah menurut Pengerusi MCA Kedah, Datuk Goh Chin Cheung, ketika ini pihaknya sudah pun menyenarai pendek beberapa nama yang dirasakan berpotensi untuk diketengahkan pada pilihan raya umum akan datang.
“Kita masih nak bertanding kerusi Parlimen Alor Setar. Setakat ini, sudah ada dua atau tiga nama yang boleh diangkat sebagai calon, dan kita pilih yang terbaik.
“Keputusan UMNO mahu bertanding di Alor Setar tetap kita hormati tetapi pada akhirnya, sudahh tentu kepimpinan Barisan Nasional (BN) di peringkat Pusat yang akan buat keputusan,” katanya kepada Warta Rakyat hari ini.
Dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Alor Setar Sabtu lalu, kalangan perwakilan parti itu menandatangani memorandum bagi menuntut supaya UMNO diberi ruang untuk bertanding di Parlimen Alor Setar.
Tuntutan itu dibuat berikutan kekalahan MCA di Parlimen berkenaan pada PRU-13 dan PRU-14 selain komposisi kaum pengundi di Parlimen tersebut yang menyaksikan jumlah pengundi Melayu berada pada tahap 64 peratus.
Goh menambah, soal komposisi kaum pengundi tidak sepatutnya dijadikan alasan memandangkan BN merupakan sebuah parti yang mengamalkan permuafakatan antara semua kaum.
“BN ini satu parti yang bermuafakat. Kalau guna alasan komposisi kaum, itu bermakna MIC tak dapatlah nak bertanding di mana-mana.
“Kalau tak ada undi Cina dan India, BN tak boleh menang juga. Lagi pun kelmarin Pengerusi BN dah cakap kerusi tradisi MCA akan dikekalkan, jadi kita tunggu sajalah,” katanya.
Mengulas lanjut Goh berkata, hubungan UMNO dan MCA bagaimanapun tidak akan terjejas hanya disebabkan isu tersebut.
“Kita tak mahulah bermasam muka. Nanti kita tunggu apa keputusan kepimpinan tertinggi.
“Kalau MCA bertanding, UMNO bantu kita di sini dan kalau kepimpinan atasan kata UMNO akan bertanding, kita akan bantu juga,” katanya.
Leave a Reply