LIMA kanak-kanak antara 19 mangsa diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam insiden tanah runtuh di Jalan Genting Peras, Kuala Klawang di Jelebu.
Komander Operasi, Mohd Asri Tak berkata, dua panggilan diterima melibatkan dua lokasi berbeza dan untuk kes pertama, pihaknya menerima panggilan pada jam 4.32 petang dan mangsa dijumpai pada jam 1.34 pagi.
Sebaik tiba di lokasi kejadian, anggota mendapati dua lelaki berusia 22 dan 23 tahun terperangkap dan salah seorangnya mengalami kecederaan di kaki.
“Mangsa cedera di pergelangan kaki kerana dihempap pokok tumbang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jabatan itu turut mendapat maklumat terdapat keluarga terperangkap di lokasi berbeza dalam insiden tanah runtuh tersebut.
“Anggota kemudian diarahkan bergerak ke kawasan itu dan pada jam 7.40 pagi tadi seramai 17 mangsa dapat diselamatkan dan dalam proses untuk dibawa ke tempat selamat.
“Pada jam 12.52 tengah hari, semua mangsa telah berjaya dibawa ke tempat selamat dan mereka juga sudah diberikan bantuan awal pada jam 10.10 pagi,” katanya.
Beliau juga memaklumkan tiada sebarang kecederaan dilaporkan dalam kes melibatkan lokasi kedua itu.
“Jarak mangsa dengan pusat kawalan adalah sejauh enam kilometer dan semuanya ditemukan dalam keadaan selamat,” ujarnya.
Leave a Reply