NAJIS tikus bertaburan di kawasan penyimpanan kicap dan kacang soya pula diproses berhampiran tandas.
Itu situasi meloyakan yang dikesan ketika pemeriksaan sekumpulan pengawai Jabatan Kesihatan Pulau Pinang (JKNPP) di sebuah kilang pemprosesan kicap yang beroperasi sejak hampir 100 tahun lalu di Jalan Patani hari ini.
Selain itu, kilang tersebut juga didapati masih menggunakan tong gentian kaca yang telah rosak dan pecah pada bahagian penutup untuk memproses perapan kacang soya dan dipenuhi kulat yang berbahaya kepada kesihatan.
Sehubungan itu, Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) JKNPP, Mohd. Wazir Khalid berkata, kilang yang turut mengeluarkan tauchu dan kuah rojak untuk pasaran sekitar utara tanah air itu turut diarahkan tutup selama 14 hari.
Malah tegasnya, pemilik kilang yang mewarisi perniagaan itu daripada datuknya turut dikenakan kompaun kerana gagal mematuhi piawaian kebersihan yang ditetapkan pihak berkuasa.
“Kilang ini pernah diserbu tahun lalu dan kita telah menasihati pemiliknya menjaga kebersihan, namun nampaknya mereka masih ingkar dengan arahan tersebut yang dapat dilihat menerusi operasi hari ini,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu.
Sementara itu dalam operasi sama hari ini, sebuah kilang pembuatan mi di lokasi berhampiran turut diarahkan tutup selama 14 hari kerana beroperasi dalam keadaan tidak menepati piawaian kebersihan ditetapkan.
Menurut Mohd. Wazir, ketika pemeriksaan di premis berkenaan, pihaknya turut menjumpai najis lipas dan tikus manakala mi kering pula dibiarkan terdedah selain ada yang hanya ditutup dengan surat khabar.
“Kilang itu juga didapati meletakkan bahan pembuatan mi serta kuetiau di atas lantai dan ini melanggar peraturan yang ditetapkan,” katanya.
Jelasnya, pemilik kilang itu didapati menggunakan logo halal serta MESTI dan pihaknya akan melaporkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) supaya logo halal ditarik balik penggunaannya oleh kilang terbabit.
Tambah beliau, secara keseluruhan pihaknya mengeluarkan sebanyak empat kompaun berjumlah hampir RM9,000 ke atas kedua-dua premis tersebut atas pelbagai kesalahan.
Leave a Reply