LEBIH ramai anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) termasuk dari negeri yang tidak dilanda banjir sedia dikerahkan bagi membantu mangsa-mangsa banjir yang terjejas teruk di beberapa negeri ketika ini.
Malah, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, beliau juga sudah berhubung Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid untuk bersedia menghulurkan sebarang bantuan yang diperlukan segera.
Tambahnya, agensi berkenaan juga akan membantu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang akan mengkoordinasi operasi menyelamat yang dijalankan secara bersepadu bersama beberapa agensi lain.
Ketika ini, seramai 4,819 anggota bomba termasuk pasukan bomba sukarela telah dikerahkan untuk membantu kerja-kerja menyelamat dan membawa mangsa ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di negeri-negeri yang terlibat dengan banjir.
Usaha tersebut dibantu oleh aset logistik terdiri daripada 125 buah kenderaan angkut serta 214 bot yang turut digerakkan ketika ini.
Menurut Reezal Merican, beliau juga akan mendapatkan perkembangan terkini situasi banjir itu daripada pihak bomba di Balai Bomba Penyelamat (BBP) Bukit Jelutong, Shah Alam, Selangor selepas ini sebelum langkah seterusnya dapat diambil.
“Saya difahamkan ketika ini sebanyak enam negeri terlibat dengan bencana banjir terutama di Selangor dan Kuala Lumpur,” katanya.
Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Khatan Perdana Peringkat Parlimen Kepala Batas yang disertai seramai 150 kanak-kanak di Kubang Menerong, Pulau Pinang hari ini.
Dalam pada itu, Reezal Merican menasihatkan orang ramai khususnya mangsa banjir segera menghubungi talian kecemasan dan mematuhi arahan pihak berkuasa setiap masa bagi memastikan keselamatan diri dan keluarga.
“Setakat ini, saya dimaklumkan pihak bomba bersama beberapa agensi lain masih berusaha untuk membantu mangsa yang terlibat,” katanya.
Leave a Reply