Laman rumah dipenuhi timbunan kayu, pokok besar tumbang akibat banjir

KELUARGA Mohd Yusof Hanafi diuji dugaan berat apabila rumah mereka dipenuhi timbunan kayu dan pokok besar yang tumbang akibat dihanyutkan arus deras banjir di Batu 7 Kampung Pantai di sini malam tadi.

Menceritakan detik cemas ketika banjir melanda kawasan rumahnya, Mohd Yusof, 55, berkata hujan berterusan sejak 7 malam tadi menyebabkan air naik mendadak ke paras dada.

Tanpa berfikir panjang, beliau terus bertindak menyelamatkan ibu mertuanya yang berusia 94 tahun dengan memindahkan warga emas itu ke rumah jiran apabila air semakin naik selain menyelamatkan tiga anak serta isteri.

“Sepanjang 18 tahun berkahwin dan menetap di sini bersama isteri, ini kali pertama kali kami sekeluarga menghadapi banjir seteruk ini, selalunya air naik tetapi setakat di tempat letak kereta sahaja.

“Semua barangan rumah saya rosak, televisyen dan pakaian juga habis terkena air banjir, dinding rumah rosak… saya juga tidak sempat menyelamatkan dokumen penting, hanya memikirkan keselamatan anak-anak, isteri dan ibu mertua sahaja,” katanya kepada Bernama hari ini.

Tinjauan Bernama mendapati selain rumah Mohd Yusof, terdapat sebuah lagi yang turut berdepan situasi sama dan kini kerja-kerja pembersihan laman di kediaman terbabit giat dilakukan oleh anggota Majlis Bandaraya Seremban.

Mohd Yusof, yang merupakan pekerja sebuah kilang di Bangi, berkata kerja-kerja pembersihan laman itu dijangka mengambil masa lebih seminggu untuk mengangkat timbunan kayu serta pokok besar dan membersihkan lumpur di dalam rumah.

Terdapat beberapa kawasan di sepanjang Jalan Pantai dekat sini yang dipenuhi lumpur paras buku lali manakala air banjir di kawasan itu surut sejak pagi tadi.

Mohd Yusof berkata barangan persekolahan tiga anaknya yang berusia 16, 14 dan 11 tahun juga rosak.

Bagaimanapun, beliau bernasib baik kerana ketika kejadian, dua kereta miliknya sempat dialihkan ke lokasi lebih tinggi. – BERNAMA


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *