WALAUPUN UMNO kini sudah menjadi kerajaan dan paling hebat memegang jawatan Perdana Menteri biarpun kalah dan ditolak oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Bagaimanapun Presiden parti itu, Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi ‘tidak habis-habis meratap’ dalam media sosial seolah-olah parti itu dan beliau terus ditindas dan ditekan.
Justeru dalam catatan terbaru dalam Facebook, Ahmad Zahid yang mendakwa UMNO kini bangkit semula mencoretkan;
‘’…Namun kebatilan juga tidak pernah tidur dan sentiasa mencari peluang untuk menyekat dan meranapkan kerana tahu kebenaran yang bangkit akan meleburkan mereka.
‘’Segala macam kelicikan sedang dirancangkan ke atas UMNO dan Presidennya tanpa mempedulikan soal penganiayaan, dosa dan pahala demi mempertahankan kuasa dan kedudukan.
‘’Barangkali juga kerana terlalu takutkan bayang-bayang sendiri setelah segala kejahatan dan penganiayaan yang dilakukan terhadap parti terbesar orang Melayu itu.’’
Wah, hebat sekali Pak Zahid menyusun ayat dan kata-kata sehingga mungkin ada yang tersentuh hati apabila membacanya, tetapi fakta dan kebenaran khususnya melibatkan apa yang berlaku kepada UMNO sebelum dan ketika PRU-14 pada 2018 tidak akan mampu ditutupi dengan ‘ratapan’ seumpama itu.
Imbas kembali apa yang berlaku pada PRU-14 dan rentetan perjalanan politik selepas itu. UMNO dan Barisan Nasional (BN) tumbang bukan kerana fitnah atau perancangan jahat mana-mana pihak tetapi akibat kesilapan kepemimpinannya sendiri.
Skandal kewangan yang dianggap terbesar di dunia iaitu 1MDB dan SRC International menjadi punca utama kejatuhan UMNO dan BN.
Kenapakah ketika isu itu mula diperkatakan pada penghujung 2015, Ahmad Zahid tidak bersuara lantang seperti mana Tan Sri Muhyiddin Yassin?
Bukankah Muhyiddin sanggup kehilangan jawatan nombor dua dalam parti dan negara kerana membangkitkan isu tersebut dan meminta penjelasan daripada Presiden UMNO dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak?
Kalaulah apa yang berlaku dianggap komplot dan perancangan jahat, bukankah kes-kes tersebut kini dibicarakan di mahkamah antaranya semua orang tahu apa keputusannya? Siapa yang Ahmad Zahid maksud mahu musnahkan UMNO? Kenapa tidak sebut nyata dan terang, siapa individu ‘sang penguasa ‘ yang mengertak supaya membubarkan UMNO atau menerima akibat sejurus UMNO tewas PRU-14?
Apakah akibat itu? Adakah maksud Ahmad Zahid kes-kes mahkamah yang belum hadapi? Kalau itu yang dimaksudkan oleh Ahli Parlimen Bagan Datuk, penulis berpendapat Ahmad Zahid tidak perlu bimbang.
Kes beliau kini sudahpun sampai ke peringkat sama ada mahkamah akan memanggil atau tidak, beliau untuk membela diri.
Ahmad Zahid perlu yakin kebenaran pasti mengatasi kebatilan. Sebaik manapun perancangan manusia, perancangan Allah SWT adalah lebih tepat.
Jadi Ahmad Zahid tidak perlu risau, kalaulah yakin apa yang berlaku ke atas beliau adalah ‘penganiayaan’ dan kedurjanaan’, lagipun bukankah doa antara hamba yang teraniaya dengan Allah SWT tiada hijab?
Apa yang sepatutnya Ahmad Zahid lakukan sekarang bukanlah ‘meratap’ atau tidak habis-habis menuding jari mencari salah orang lain terhadap apa yang berlaku kepada UMNO dan beliau, sebaliknya beliau perlu bermuhasabah.
Ahmad Zahid secara tenang perlu mengimbas semula perjalanan beliau dan UMNO sejak 2018. Fikirkan dengan hati yang tenang dan jiwa yang ikhlas, adakah benar apa yang berlaku sekarang adalah satu perancangan jahat atau disebabkan kesalahan sendiri.
Kenapakah Ahmad Zahid tidak bercakap soal bagaimana beruntungnya UMNO apabila setelah ditolak oleh rakyat dalam PRU-14, Allah SWT menentukan UMNO dijemput bersama Bersatu dan Pas menubuhkan kerajaan?
Kenapa ketika itu, Ahmad Zahid menerima tawaran Bersatu yang dipimpin oleh Muhyiddin, kalau betul apa yang berlaku kepada UMNO ketika PRU-14 adalah ‘penganiayaan dan kedurjanaan’?
Bukankah Bersatu yang sebelum itu diterajui Tun Dr.Mahathir Mohamad adalah sekutu Pakatan Harapan – pakatan yang bertanggungjawab menamatkan 61 tahun pemerintahan UMNO?
Kalau soal ‘penganiayaan dan kedurjanaan’ mahu diperkatakan, apakah tindakan 15 ahli Parlimen UMNO menarik sokongan kepada Muhyiddin sehingga memaksa beliau meletakkan jawatan Perdana Menteri pada 16 Ogos lalu, bukan satu ‘penganiayaan dan kedurjanaan”?
Apa pula yang kita hendak tafsirkan berhubung sepucuk surat yang diutuskan oleh ‘’seseorang’ kepada Yang di-Pertuan Agong menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri tanpa pengetahuan partinya? Tidakkah itu juga boleh dianggap ‘penganiayaan dan kedurjanaan’?
Apakah tindakan segelintir ahli Parlimen UMNO memainkan sentimen kononnya Kerajaan Muhyiddin gagal bukan satu ‘penganiayaan dan kedurjanaan’ sedangkan beliau tidak diberi peluang untuk menyelesaikan misinya memerangi Covid-19 melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sudah diatur?
Bukankah apa yang dinikmati oleh negara sekarang adalah hasil pelan pemulihan negara yang dirancang oleh Muhyiddin?
Walaupun berhadapan dengan ‘penganiayaan dan kedurjanaan’ Muhyiddin dengan jiwa besar meletakkan jawatan dan bersedia memberi sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri, sekaligus bermakna ‘UMNO kembali berkuasa, walaupun kalah pilihan raya’.
Sehingga ini tidak adapun Muhyiddin ‘meratap’ terhadap apa yang berlaku dalam media sosial, sebaliknya beliau terus komited menyokong Ismail Sabri dan kerajaan sedia ada, walaupun khabarnya ‘ada janji yang tidak ditepati’?
Oleh itu kenapa pula, sekarang Ahmad Zahid terus ‘meratap hiba’ nasib beliau dan UMNO sedangkan ketika ini UMNO yang menduduki jawatan Perdana Menteri dan menguasai kerajaan?
Apakah ada sesuatu berlaku dalam UMNO? Apakah ada perancangan mahu menyingkirkan beliau sebagai Presiden sedang dilakukan? Atau adakah Ahmad Zahid semakin bimbang dengan cakap-cakap yang menyatakan UMNO tidak akan menang PRU-15 jika beliau yang memimpin parti itu?
Penulis hanya bertanya,jangan marah sebab rasa bosan jugak apabila asyik membaca ‘coretan-coretan hiba’ Ahmad Zahid sedangkan ketika ini UMNO bukannya berada dalam kedudukan teraniaya, sebaliknya sudah kembali memimpin negara! Apa lagi yang Ahmad Zahid tidak puas hati?
Justeru kalau Ahmad Zahid, tidak mahu pelbagai persepsi wujud, lebih baik Ahmad Zahid berterus-terang, cakap sahaja siapa yang beliau maksudkan kelompok yang mahu mempergunakan dan memecah belah UMNO.
Paling baik Ahmad Zahid lakukan pemilihan parti lebih awal untuk menentukan apakah benar beliau masih lagi ada sokongan akar umbi.
Kalau itu tidak dilakukan, lebih baik Ahmad Zahid hentikanlah ‘ratapan hiba’ dalam media sosial sebaliknya bermuhasabah untuk mencari di mana silapnya.
Bukan apa…takut nanti orang cakap Ahmad Zahid hanya mahu meraih simpati dan ingin mewujudkan persepsi bahawa beliau adalah mangsa ‘penganiayaan dan kedurjanaan’ sedangkan perkembangan semasa menunjukkan sebaliknya…betul tak?
Leave a Reply