Oleh RIZQI ZABIDI
Seorang penolong pengurus ladang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menghantar komunikasi lucah kepada seorang individu, dua tahun lalu.
Tertuduh, Mohd. Afif Ramlan, 36 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan terhadapnya di depan Hakim, Sharifah Norazlita Syed Salim Idid di Mahkamah Sesyen 5 Aor Setar.
Bersandarkan kertas pertuduhan, tertuduh yang kini sudah pun berkahwin didakwa secara sedar telah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi lucah kepada seorang individu dengan niat untuk menyakiti hati orang lain.
Komunikasi bersifat lucah itu telah dibaca individu berkenaan pada 19 Jun 2019 kira-kira pukul 11.59 malam di sebuah premis di Taman Uda, Jalan Sultanah di Alor Setar.
Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi Dan Multimedia 1988 (Akta 588) oleh Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malayia (SKMM), Nazrul Nizam Mohd. Zameri manakala tertuduh diwakili peguam, Dr. Mohamad Sofee Razak.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 233 (3) akta sama iaitu penjara tidak lebih setahun atau didenda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali.
Hakim menetapkan 9 Januari depan sebagai tarikh serahan dokumen dan sebutan semula kes tersebut.
Leave a Reply