BEKAS Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menggesa perbincangan awam dibuat melibatkan hal ehwal dan peranan sistem Raja Berperlembagaan.
Gesaan itu dibuat dalam buku autobiografi terkininya Capturing Hope sewaktu membincangkan soal hubungan kaum dalam “Malaysia Baru”, lapor Malaysiakini.
Mengakuinya sebagai subjek yang sukar, Dr. Mahathir berkata, beliau seorang yang percayakan kepada sistem itu, tetapi perbincangan mesti dibuat.
“Malaysia sebuah negara Raja Berperlembagaan dan ini termaktub dalam Perlembagaan. Perlembagaan juga menyebut bahawa pemerintahan beraja mempunyai beberapa peranan, seperti juga kepimpinan politik dan rakyat.
“Semua peranan dan tanggungjawab ini disebut jelas dalam Perlembagaan dan tiba masanya untuk kita perbincangan di peringkat kebangsaan berkaitan hal ehwal Raja Berperlembagaan dan peranan Perlembagaan yang sesuai, yang tertakluk ke atas raja-raja,’’ katanya.
Dr.Mahathir berkata, raja-raja tidak patut terlibat dalam politik dan perniagaan.
Beliau mendakwa terdapat pihak menggunakan nama istana untuk mendapat kelebihan yang tidak adil dalam bidang itu.
Bagaimanapun, pendirian Dr. Mahathir dalam isu penglibatan raja-raja dalam politik tidak dinyatakan secara hitam putih dalam buku itu.
Contohnya, Dr. Mahathir juga percaya orang Melayu tidak maju kerana sifat “berserah hampir feudal kepada kerabat diraja dan orang bergelar”.
Katanya orang Melayu juga cenderung mendapatkan perlindungan daripada raja-raja jika ada sesuatu yang tidak kena.
Sementara itu mengulas pelantikan Perdana Menteri baru selepas beliau meletakkan jawatan pada Februari 2020, beliau percaya Agong bertindak secara betul dengan menentukan sokongan majoriti secara akuan berkanun.
Bagaimanapun beliau mempersoalkan keputusan memilih Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai penggantinya.
Dr. Mahathir mendakwa beliau mempunyai sokongan yang paling banyak ketika itu.
Dalam buku itu, Dr. Mahathir juga lantang terhadap Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Sebelum menyarankan perbincangan awam berkaitan institusi raja-raja, Dr. Mahathir juga mengimbas kembali kes penyampai radio Patrick Teoh yang ditangkap dan dituduh di mahkamah atas dakwaan menghina TMJ dan kerabat diraja dalam media sosial.
“Tiada undang-undang yang melindungi seorang putera mahkota itu daripada kritikan awam. Betul, kamu tidak boleh cakap benda buruk kepada raja-raja, tetapi tiada undang-undang yang meletakkan putera mahkota dalam kedudukan kedudukan tinggi yang sama.
“Tambahan pula, putera mahkota (Johor) terlibat dalam politik dan perbahasan politik, dia sekurang-kurangnya mesti bersedia untuk dikritik,” katanya.
Veteran politik 90-an itu berkata TMJ sepatutnya memfailkan saman fitnah terhadap Teoh jika merasa dihina.
“Bagaimanapun, urusan dengan Putera Mahkota menunjukkkan bahawa rakyat tidak boleh komen berkaitan raja-raja termasuk jika sesuatu kesalahan dilakukan. Perkara ini tidak boleh diterima,” katanya yang juga Ahli Parlimen Langkawi.
Leave a Reply