Remaja tidak minat warisi kerja-kerja buat bot tradisional

SUATU ketika dahulu kerja-kerja membuat bot tradisional atau perahu layar sememangnya cukup terkenal di negeri Terengganu. Ia sejajar dengan penglibatan aktiviti laut penduduk, yang memainkan peranan penting dalam membantu sistem ekonomi masyarakat, khususnya bagi yang tinggal di tepi pantai.

Kehebatan dan kemahiran dimiliki masyarakat ketika itu turut dikaitkan dengan budaya pesisir. Malah, kebanyakan mereka dikatakan berjiwa dan berwatak pelaut. Selain menjadi nelayan, ada juga dalam kalangan mereka menjadi pedagang dengan mengemudi kapal membawa barang termasuk garam sehingga ke Siam dan Aceh.

Sekitar tahun 1970an dahulu penulis masih sempat melihat aktiviti kapal-kapal tersebut belayar membawa barang di laut mengikut keadaan angin. Maka itu, di sebalik kehebatan masyarakat pedagang ini, ia turut melahirkan begitu ramai golongan ‘tukang-tukang’ bot tradisional dan perahu layar berkemahiran tinggi.

Apa yang membanggakan, kemahiran dan kualiti bot yang dihasilkan juga pernah mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa. Sebagai contoh, pembinaan bot tradisional di Pulau Duyong oleh Pak Abdullah pernah ditempah oleh rakyat Belanda, Jerman dan Perancis. Selain Pulau Duyong, generasi pembuat bot tradisional ini turut terdapat di Marang dan Kemaman.

Di kampung penulis, iaitu di Kampung Pantai Tukang Perahu atau dikenali juga Pantai Pengkalan Penarik terdapat beberapa generasi pembuat bot tradisional dan perahu layar seperti Payang, Kolek sehingga kepada Sekuci dan Belakang Potong. Mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran tersendiri, membina bot dengan menggunakan kayu kayan berdasarkan sumber alam semulajadi yang ada.

Mereka tidak menggunakan paku, sebaliknya hanya memasukkan kayu dinamakan pasak. Itulah teknologi yang digunakan sehingga sekarang. Bagaimanapun, zaman sudah berubah, masyarakat sekarang terutama golongan muda semakin kurang berminat untuk melakukan kerja-kerja membuat bot tradisional.

Hal ini mungkin disebabkan tuntutan gaya kehidupan moden sekarang menyebabkan generasi hari ini lebih gemar memburu kerja di pejabat-pejabat tertentu. Faktor lain menyebabkan kerja-kerja membuat bot tradisional di Terengganu semakin berkurangan adalah kerana tuntutan harga bahan-bahan asas agak mahal dan melambung tinggi.

Walaupun begitu, penulis cukup kagum dengan seorang pembuat bot tradisional yang masih sanggup melakukan kerja-kerja tersebut, dilakukan sejak bertahun lalu.

Bagi Ibrahim Mahmud, 70, selain mencari rezeki, ia merupakan satu usaha untuk meneruskan warisan bapa sekaligus mempertahakan legasi keluarganya.

Dia di antara pembuat bot yang masih setia dan aktif di daerah Marang mewarisi kerja-kerja tersebut sejak bertahun lagi, iaitu ketika zaman remaja. Kerja-kerja itu dahulu dilakukan di Kampung Pantai Tukang Perahu Seberang Marang, kini berpindah di tepi sungai Gong Tepah, Jalan Batangan.

Ketika bercerita kepada penulis, Ibrahim memberitahu kerja-kerja warisan itu diteruskan bersama adiknya Abdul Razak, 62, dan dua anak Razak, iaitu Mohd Rodzi dan Mohd Zul.

Memandangkan terlalu sukar untuk mencari pelapis bagi kerja-kerja membuat bot tradisional sekarang ini, Ibrahim turut mengharapkan agar kedua-dua anak saudaranya itu bakal menjadi pewaris bagi meneruskan kerja-kerja warisan dalam pembinaan bot peninggalan keluarga.

“Orang muda sekarang dah tak minat bertukang, kerja ini tak boleh pegang telefon, kena ada kemahiran, teliti, tekun dan sabar. Nak buat bot baharu ambil masa dua hingga tiga tahun, bergantung pada saiz, begitu juga dari segi harga antara RM200,000 hingga RM500,000, tengok keadaan”, ceritanya kepada penulis.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *