long tiger negeri sembilan

Long Tiger lolos dari lokap mahkamah, salah siapa?

LELAKI etnik Rohingya yang dikenali sebagai ‘Long Tiger’ meloloskan diri dari lokap Mahkamah Majistret Tangkak hari ini ketika proses perbicaraan berkaitan kes di bawah Seksyen 388 Kanun Keseksaan.

Ekoran insiden itu, Long Tiger atau nama sebenarnya, Abdul Hamid Ab Hamid, 32, diburu polis.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Mohd Fadhil Minhat berkata, dalam kejadian sekitar pukul 11.55 pagi tadi, suspek dikesan lolos menggunakan pintu hadapan kompleks mahkamah berkenaan dalam keadaan tangan bergari.

“Suspek ini kita ambil dia dari Penjara Sungai Udang Melaka pada semalam untuk hadir bicara di Mahkamah Majistret Tangkak hari ini atas pertuduhan lampau di bawah Seksyen 388 kerana melakukan pemerasan.

“Semasa kejadian itu beberapa kakitangan mahkamah cuba mengejar, namun jarak itu terlampau jauh dan kemudian suspek terus melarikan diri ke kawasan semak berdekatan dan terus menghilang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Beliau menambah, seramai lima tahanan dibawa ke mahkamah berkenaan dari lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak dan ketika kejadian hanya suspek yang belum selesai prosiding perbicaraan sementara menunggu kehadiran peguamnya.

Mohd Fadhil memberitahu, selain mengenal pasti bagaimana suspek boleh meloloskan diri, pihaknya juga sedang mengesan jumlah anggota polis yang terlibat dan tindakan susulan akan dibuat.

“Punca bagaimana tahanan ini boleh loloskan diri masih lagi dalam siasatan pihak polis serta berapa ramai anggota terlibat juga kita sedang siasat.

“Tetapi mana-mana anggota terlibat kita akan ambil tindakan atas kecuaian yang berlaku dan pihak polis akan ambil tindakan terhadap mereka,” ujarnya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang terlihat suspek yang juga seorang lelaki botak dengan ketinggian lebih kurang 160 sentimeter dan berat sekitar 65 kilogram dan memakai baju pagoda serta berseluar coklat diharap segera melaporkan kepada pihak polis.

Untuk rekod, selain Seksyen 338 Kanun Keseksaan kerana pemerasan, tertuduh juga masih berdepan dua perbicaraan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol dan Seksyen 506 kanun sama kerana mengugut dan mengurung bekas pekerjanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *