Premis kotor

Logo halal dan kebersihan diragui, 125 mesin air disita

JABATAN Kesihatan Pulau Pinang menyita sebanyak 125 buah mesin air tidak berlesen yang dianggarkan bernilai kira-kira RM875,000 dalam satu operasi besar-besaran selama dua hari sejak semalam di seluruh di negeri itu.

Tindakan penguatkuasaan menerusi Op Sita itu dilakukan susulan pemantauan selama dua minggu oleh pegawai kesihatan jabatan berkenaan dalam membanteras kewujudan mesin air yang beroperasi secara haram atau tanpa lesen Kementerian Kesihatan (KKM).

Ketua Unit Penguatkuasaan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Jabatan Kesihatan negeri, Mohd. Wazir Khalid berkata, menerusi operasi itu pihaknya turut mengesan mesin air yang membuat tuntutan perubatan atau mendakwa keberkesanan minuman tersebut terhadap kesihatan selain penggunaan sumber air dan elektrik yang meragukan.

Sehubungan itu jelas beliau, pihaknya akan mendapatkan kerjasama Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang dan Tenaga Nasional Berhadd (TNB) bagi menentukan status penggunaan sumber air dan elektrik setiap mesin air tersebut.

“Selain itu kita juga akan mendapatkan pengesahan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) berhubung penggunaan logo halal pada mesin air itu sama ada benar-benar diluluskan atau untuk tujuan pemasaran semata-mata,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyertai Op Sita itu di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

Tindakan penyitaan itu dibuat mengikut Seksyen 4(1)(f) Akta Makanan 1983 atas kesalahan di bawah Peraturan 360C(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985.

Dalam pada itu, Mohd. Wazir berkata, pihaknya memberi tempoh selama 14 hari kepada pemilik mesin-mesin air terbabit untuk hadir ke mana-mana pejabat kesihatan berhampiran untuk tindakan lanjut.

Katanya, pemilik yang gagal menjawab notis itu juga diberi tempoh selama tiga bulan sebelum pertuduhan dilakukan dan permohonan dibuat kepada mahkamah untuk melupuskan semua mesin yang disita.

“Kita memandang serius isu mesin air yang beroperasi tanpa lesen serta terdedah kepada persekitaran yang kotor ini kerana boleh membahayakan kesihatan awam.

“Sehubungan itu, kita akan terus melakuka  pemantauan secara berkala iaitu setiap tiga atau enam bulan sekali bagi memastikan tahap kebersihan mesin air ini,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menasihatkan orang ramai berhati-hati dalam menggunakan mesin air dan hanya memilih mesin air yang selamat iaitu yang mempunyai penandaan berlesen daripada KKM.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *