ISU Muafakat Nasional masih hangat diperdebatkan. Berikutan itu Majlis Syura Ulama Pas akan mengadakan perbincangan pada 18 Disember ini.
Tidak perlu berselindung lagi, di dalam Pas ada dua kelompok – satu kelompok mahukan Muafakat Nasional yang hanya melibatkan parti itu dengan UMNO dan satu lagi kelompok mahukan ketiga-tiga parti Melayu berada dalam satu muafakat. Tetapi sekali lagi tidak perlu berlapik untuk menyatakan di dalam Pas kelompok yang menyokong Muafakat Nasional bersama UMNO jauh lebih kuat berbanding satu lagi kelompok.
Tindakan Pas yang menjadi anggota rasmi Perikatan Nasional dikatakan menimbulkan perasaan tidak puas hati dalam kalangan segelintir ahli dan pemimpin parti tersebut. Atas sebab itulah kita menyaksikan ada pemimpin Pas secara terus-terang mahukan Pas bersama mempertahankan Muafakat Nasional sebaik sahaja Pilihan Raya Negeri Melaka berakhir pada 20 November lalu.
Bagaimanapun ketegasan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang mahukan Bersatu turut bersama dalam agenda perpaduan ummah menyebabkan ada pemimpin Pas tidak berpuas hati. Walaupun ada antara mereka dilihat membuat kenyataan seperti menyokong pendirian Abdul Hadi namun di belakang hanya Allah SWT mahu mengetahui.
Firman Allah SWT;
‘’Dan sesungguhnya Tuhanmu sedia mengetahui apa yang terpendam dalam hati mereka dan apa yang mereka nyatakan (dengan tutur kata dan perbuatan)’’ – An-Naml ayat ayat 74
Pada masa sama, UMNO yang cuba mencari jalan selamat dengan menyerahkan kepada Pas membuat keputusan berhubung Muafakat Nasional kini berada dalam dilema apabila pucuk pimpinan Pas tetap mahu Bersatu dalam permuafakatan itu.
Semua orang tahu UMNO sama sekali tidak boleh menerima Bersatu. Walaupun UMNO mendabik dada mempunyai jumlah ahli lebih 3 juta orang dan begitu gah apabila menang selesa di PRN Melaka, namun mereka tetap takut dengan kehadiran Bersatu/Perikatan Nasional.
Anehnya, ada dalam kalangan mereka juga mendakwa Bersatu tidak ada ahli, cawangan pun tak ada, bahagian pun tidak banyak mana dan jentera pilihan raya pun tidak wujud. Kalau itulah hujahnya kenapa ada segelintir pemimpin UMNO begitu takut kepada Bersatu?
Kenapa terlalu membenci Tan Sri Muhyiddin Yassin? Adakah mereka bimbang kehadiran Bersatu boleh menggugat peluang UMNO dalam PRU-15? Kalaulah percaturan politik menjadi kebimbangan dan Muafakat Nasional dianggap eksklusif hanya untuk Pas dan UMNO sahaja apa kata tukar sahaja kepada Muafakat Ummah.
Permuafakatan ini tidak ada unsur-unsur politik tetapi kesepakatan bagi mewujudkan persefahaman antara parti-parti Melayu untuk bersama mempertahankan perkara-perkara berkaitan orang Melayu dan Islam. Soal kerusi pilihan raya, apa yang berlaku di Melaka boleh menjadi contoh, masing-masing bertanding mengikut kesepakatan sendiri. Contohnya, Bersatu dan Pas tidak bertembung begitu juga Pas dan UMNO pun tidak bertembung.
Sebelum ini pun Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi pernah melontarkan pandangan supaya parti itu bertanding solo dan sama ada hendak bekerjasama atau bergabung dengan mana-mana parti-parti bagi menubuhkan kerajaan boleh dibincangkan selepas keputusan pilihan raya diketahui.
Kalaulah formula itu digunakan sudah tentu semua parti berhak mempersiapkan pemimpin mereka menjadi Perdana Menteri tidak kiralah UMNO, Pas mahupun Bersatu. Tetapi adakah UMNO mahu keadaan itu berlaku? Sekarang inipun UMNO/Barisan Nasional masih mempertahankan dan berhasrat untuk menjadi parti dominan dalam PRU-15 nanti, oleh itu adakah mereka akan bersedia dengan formula ‘bertanding dulu, bincang kemudian’?
Kalau sikap mahu dominan masih menebal dalam kalangan sesetengah pemimpin UMNO dengan alasan demi kestabilan politik, bagaimanakah segelintir Pas begitu mempercayai menjalin hubungan dengan UMNO, jauh lebih beruntung daripada berbaik-baik dengan Bersatu?
Adakah pemimpin-pemimpin UMNO yang mahu terus mempertahankan Muafakat Nasional kerana kepentingan ummah atau demi keuntungan politik? Adakah ia benar-benar mahu memastikan umat Islam tidak berpecah belah atau merasakan dengan sokongan pengikut Pas mereka boleh meraih keuntungan?
Penulis akan mengulas lanjut dalam artikel seterusnya tetapi buat masa ini, usaha perlu dilakukan untuk menyatukan ketiga-tiga parti Melayu tersebut.
Penulis percaya Bersatu tidak ada masalah dan bersedia bekerjasama dengan UMNO seperti mana pendirian beberapa pemimpin UMNO yang tetapi cenderung mahukan penyatuan ummah melibatkan Bersatu. Tetapi penulis yakin dalam kalangan segelintir pemimpin UMNO, mereka mempunyai dendam kesumat kepada Bersatu. Walaupun jumlah mereka tidak ramai dan ada antaranya bertanding dalam pilihan raya pun kalah, namun suara mereka dilihat dominan.
Tambahan pula apabila Ahmad Zahid sendiri dilihat lebih cenderung mahukan UMNO/BN bertanding solo seperti mana PRN Melaka tetapi kalau keputusan PRN Melaka mahu dijadikan sandaran maka parti itu ibarat ‘menggali kubur sendiri’.
Apapun sebagai orang Melayu, penulis masih mengharapkan akan wujud penyatuan ummah antara ketiga-tiga parti tersebut. Ia bukanlah sukar tetapi malangnya ia dihalang akibat ada pemimpin-pemimpin Melayu yang terus terpengaruh dengan ‘bisikan syaitan politik’.
Akibat terpengaruh dengan ‘bisikan’ inilah terlalu sukar untuk kita menyatukan orang Melayu dan parti Melayu biar atas nama apapun. Siapakah yang sering terpengaruh dengan ‘bisikan syaitan politik’ itu? Kajilah sendiri…
Leave a Reply